Tembakan di Poland ragut enam nyawa, Anwar tegaskan tiada ideologi boleh halalkan pembunuhan

Tragedi tembakan di Kraków, Poland yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan beberapa individu lain mengundang reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan laporan pengaruh ekstremisme kanan jauh terhadap penyerang sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.

Anwar berkata, kejadian itu sekali lagi memperlihatkan ancaman keganasan yang perlu ditangani dalam semua bentuk, termasuk gerakan ekstremisme kanan jauh yang menggunakan kekerasan.

Menurutnya, tiada sebarang fahaman atau ideologi boleh dijadikan alasan untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa.

“Laporan bahawa penyerang dipengaruhi ekstremisme kanan jauh amat membimbangkan. Tragedi ini mengingatkan kita tentang keperluan menangani keganasan dalam semua bentuk, termasuk ancaman ekstremisme kanan jauh yang semakin meningkat.

“Tiada ideologi yang boleh membenarkan pembunuhan orang tidak berdosa,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan hari ini.

Sehubungan itu, Anwar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta menyatakan solidariti Malaysia bersama rakyat Poland susulan tragedi berkenaan.

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera.

“Malaysia berdiri bersama rakyat Poland dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang. Kita mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi membanteras ekstremisme serta mempertahankan keamanan dan maruah kemanusiaan.

“Malaysia komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi menentang ekstremisme serta mempertahankan keamanan dan maruah kemanusiaan,” katanya.

BACA JUGA Pelaburan Bitdeer bukti komitmen MADANI pacu AI, RM1.1 bilion buka laluan ekonomi digital