Jangan kerana sebangsa, rasuah pun mahu dibela – Mujahid

FOTO BERITA: Majlis Konvensyen Wilayah Persekutuan 2026 (Parti Amanah Negara) dirasmikan oleh Ustaz Mujahid Yusof Rawa. Turut hadir di Tuan Hj. Khalid Samad Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Timbalan Pengerusi Hayatul Kamil Termudi di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya. 8hb Nov 2026 (Ahad)

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa kesalahan rasuah tidak boleh dipertahankan semata-mata kerana pelakunya seorang pemimpin berpengaruh atau berasal daripada bangsa yang sama.

Beliau berkata, tindakan mewajarkan rasuah atas nama bangsa, agama dan kesetiaan politik bertentangan dengan prinsip integriti serta keadilan yang menjadi asas perjuangan Amanah.

“Kalau yang buat rasuah itu daripada bangsa kita, orang Melayu, kita harus menolak perbuatan mereka,” tegasnya ketika merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan 2026 di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya,

Mujahid turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadi pembela kepada sesuatu kesalahan yang telah dibuktikan, hanya kerana mahu mempertahankan pemimpin atau parti politik tertentu.

Menurutnya, Islam menuntut umatnya menjadi saksi kepada kebenaran dan bukannya membenarkan sesuatu kemungkaran atas alasan hubungan kaum, agama atau kepentingan politik.

Beliau turut menyentuh tindakan pihak tertentu yang didakwanya cuba menormalisasikan rasuah, termasuk menganggap usaha membantu individu yang disabitkan kesalahan sebagai perjuangan mempertahankan bangsa.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad turut membidas usaha memperjuangkan pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan.

Khalid mengingatkan bahawa Rasulullah SAW pernah memberi amaran mengenai kebinasaan masyarakat yang membebaskan golongan berpengaruh daripada hukuman tetapi bertindak tegas terhadap golongan lemah.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Nik Abduh Nik Abdul Aziz berhubung ganjaran pahala kepada mereka yang menyumbang bagi membantu membayar denda RM50 juta Najib.

Dalam perkembangan sama, Khalid menyifatkan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai usaha merebut kuasa daripada Pakatan Harapan (PH), bukannya perpaduan berasaskan prinsip perjuangan.

“Dia merayu kepada BN, terimalah kami PN sebagai rakan supaya kita halau PH daripada Putrajaya, selepas itu kalau nak gaduh balik, tak ada masalah,” katanya.

Mengulas hala tuju Amanah, Mujahid berkata parti itu kini menyasarkan kemenangan 20 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang bagi memperkukuh kedudukannya dalam politik negara.

Beliau turut menggesa Amanah Wilayah Persekutuan memperkukuh organisasi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta memperjuangkan isu perumahan, kos sara hidup dan pengangkutan rakyat bandar.

Mujahid berkata, selepas 11 tahun penubuhannya, Amanah perlu terus membuktikan kematangan politik melalui kepimpinan berintegriti, pelaksanaan reformasi institusi dan usaha melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

Mujahid berkata, selepas 11 tahun penubuhannya, Amanah perlu terus membuktikan kematangan politik melalui kepimpinan berintegriti, pelaksanaan reformasi institusi dan usaha melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

Konvensyen berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Hayatul Kamil Termudi serta barisan kepimpinan parti dari seluruh Wilayah Persekutuan.
