Laung cinta Nabi setinggi langit, tetapi sibuk mahu ringankan hukuman orang besar

Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF

Hadis Sahih al-Bukhari nombor 4304 masyhur kerana menunjukkan kemarahan Nabi Muhammad SAW kepada amalan memilih-milih di dalam menghukum. Jika orang bawah kena, jika orang atas lepas.

Perangai buruk ini mengikut Nabi adalah perangai orang-orang dahulu yang Allah binasakan. Ni sudah tentu buruk di sisi Allah walaupun pelakunya nampak mulia di sisi manusia.

Yang menariknya ialah dua individu yang disebutkan di dalam hadis ini, Usamah bin Zaid dan Fatimah binti Rasulullah saw. Kedua-dua insan ini amat disayangi oleh Nabi.

Ada orang berkedudukan yang mahukan Usamah meminta hukuman ke atas salah seorang dari mereka diringankan. Apabila mendengar rayuan ini Nabi marah.

Kemudian dari inilah Nabi saw menegaskan “Jika Fatimah mencuri akan aku potong tangannya”.

Fatimah ni amat disayangi oleh Nabi. Jadi, contoh yang baginda bagi itu jelas menunjukkan perangai nak melepaskan orang besar-besar bercanggah dengan ajaran Nabi.

Launglah kecintaan kepada Nabi banyak mana pun, ianya tak bermakna sekiranya masih berusaha keras untuk memberikan keringanan kepada orang-orang atasan yang didapati bersalah dan sudah jatuh hukum.

Di dunia ini manusia boleh berlakon. Mereka pandai mempamerkan sifat yang mulia walaupun tindakan mereka bercanggah dengan ajaran Nabi.

Apabila berhadapan dengan Allah SWT di akhirat besok, barulah tak boleh lari dan akan diadili di atas keputusan dan tindakan yang dibuat di dunia ini.

Semoga Allah SWT menjadikan kita benar-benar mencintai Nabi Muhammad SAW dan berusaha keras untuk mengikut ke semua ajaran baginda.

  • DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji. Artikel ini kali pertama disiarkan beliau di Facebook pada 25 Ogos lalu.

BACA JUGA Janji kenaikan gaji sudah ditunaikan, pengundi awal Melaka diseru nilai pencapaian kerajaan