Malaysia bukan negara suruhan! Fahmi bangkit isu ‘kolonialisme teknologi’ di pentas dunia
Negara maju tidak sepatutnya menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh negara lain dalam pembangunan teknologi digital, tegas Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Malah, beliau memberi amaran terhadap kemunculan fenomena baharu yang disifatkan sebagai ‘kolonialisme teknologi’ apabila negara yang lebih maju menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka untuk menentukan hala tuju pembangunan telekomunikasi negara lain.
Menurut Fahmi, setiap negara mempunyai kedaulatan tersendiri dan berhak menentukan dasar pembangunan teknologi berdasarkan keperluan serta kepentingan nasional masing-masing.
Beliau menyuarakan pendirian itu ketika menyertai Forum Kepimpinan Digital sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026, yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, industri dan organisasi antarabangsa dalam membincangkan masa depan ekosistem digital.
“Tidak seharusnya wujud keadaan kolonialisme teknologi, iaitu apabila anda yang pertama atau lebih maju, maka anda memberitahu pihak lain apa yang patut atau tidak patut dibuat, apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan.
“Setiap negara mempunyai kedaulatan sendiri dan seharusnya berhak menentukan dasar domestik masing-masing,” katanya.
Fahmi berkata pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian 5G membuktikan bahawa sesebuah negara boleh memilih pendekatan tersendiri meskipun berbeza daripada cadangan atau amalan yang disarankan pihak luar.
Katanya, Malaysia pada peringkat awal memilih model rangkaian borong tunggal atau Single Wholesale Network (SWN) sebelum beralih kepada model dwirangkaian.
Beliau turut menjelaskan bahawa peralihan model berkenaan memerlukan kerajaan menguruskan pelbagai pertimbangan diplomatik dan geopolitik yang kompleks.
Pengalaman itu, katanya, membuktikan keputusan berkaitan infrastruktur digital tidak seharusnya ditentukan semata-mata berdasarkan pandangan atau kepentingan pihak luar.
Dalam masa sama, Fahmi mengingatkan bahawa persaingan geopolitik dan kemunculan ekosistem teknologi yang berbeza memerlukan negara memperkukuh dialog serta membina kepercayaan, bukannya membesarkan perbezaan.
Beliau mengambil contoh ASEAN yang mengamalkan pendekatan berasaskan konsensus dan menghormati kedaulatan setiap negara anggota dalam menentukan dasar masing-masing.
Menurutnya, kerjasama antarabangsa amat penting bagi memastikan prinsip saling kendali atau interoperability dapat dicapai, sekali gus membolehkan pelbagai rangkaian dan teknologi berfungsi bersama dengan selamat.
Jangan terlalu ghairah kejar 6G
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut mengingatkan industri telekomunikasi supaya tidak terlalu terburu-buru memberi tumpuan kepada teknologi generasi keenam (6G) sedangkan penggunaan 5G dan 5G-Advanced masih perlu dipertingkatkan.
Katanya, keutamaan ketika ini ialah memastikan teknologi sedia ada benar-benar dimanfaatkan oleh masyarakat dan sektor industri sebelum negara melangkah ke generasi rangkaian seterusnya.
“Sebelum kita bercakap mengenai 6G, kita perlu melihat sejauh mana masyarakat dan industri benar-benar memanfaatkan rangkaian 5G atau 5G-Advanced.
“Itu sebenarnya cabaran utama yang sedang giat kami tangani di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan membantu negara membangun merapatkan jurang digital, khususnya ketika dunia mula bersedia menghadapi peralihan kepada teknologi kuantum dan komunikasi selamat kuantum.
Fahmi yakin penyelesaian kepada cabaran teknologi global tidak semestinya datang daripada negara yang selama ini dianggap sebagai peneraju teknologi dunia.
Sebaliknya, kerjasama antarabangsa yang lebih terbuka mampu membuka ruang kepada inovasi dan penyelesaian baharu daripada pelbagai negara.
Pendirian Malaysia itu sekali gus membawa mesej bahawa pembangunan digital bukan medan untuk negara maju menentukan hala tuju negara lain, sebaliknya ruang kerjasama yang perlu berasaskan prinsip saling menghormati kedaulatan.
BACA JUGA Bantuan RM300 sebulan untuk keluarga Selangor, permohonan BINGKAS 3.0 dibuka esok