‘Tak teliti punca Najib tak balik rumah!’ Peguam Negara dedah kesilapan ketara dokumen tahanan
Kesilapan ketara dalam dokumen berkaitan pertukaran tempat tahanan Datuk Seri Najib Razak menjadi punca pelaksanaan perintah tahanan rumah bekas perdana menteri itu tertangguh.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, masalah berkenaan tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak yang menyediakan dokumen terbabit membuat semakan dengan teliti sebelum ia dikeluarkan.
Memetik lapiran BH Online, Dasuki menjelaskan terdapat kesilapan yang jelas dalam dokumen berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang boleh dielakkan.
“Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti.
“Kesilapan ini adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu perintah pelepasan (order of discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib pada Jumaat lalu.
Najib sebelum ini dijadualkan kembali ke kediamannya di Jalan Langgak Duta pada 6 November bagi menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan rumah.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila dokumen perintah pelepasan berkenaan menimbulkan beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan lanjut.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam dokumen sama serta beberapa butiran lain yang didakwa tidak sepatutnya dimasukkan, termasuk pernyataan mengenai hukuman denda yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.
Susulan masalah berkenaan, Jabatan Peguam Negara (AGC) menasihatkan supaya perkara terbabit diperjelaskan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan perintah berkenaan diteruskan.
Keadaan itu menyebabkan Najib kekal ditempatkan di Penjara Kajang sementara isu dokumen berkenaan diselesaikan.
Pada 7 November lalu, AGC turut menafikan bahawa penangguhan pelaksanaan tahanan rumah itu merupakan tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya, AGC menjelaskan langkah berkenaan bertujuan memastikan hak Najib terus terpelihara susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pembebasannya daripada tahanan penjara untuk menjalani baki hukuman di rumah.
Perkembangan itu sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap proses pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, khususnya berhubung dokumen dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh agensi kerajaan.
Persoalan yang kini timbul ialah bagaimana kesilapan dalam dokumen sepenting itu boleh berlaku sehingga pelaksanaan keputusan berkaitan hukuman seorang bekas perdana menteri terpaksa tertangguh.
Dalam isu yang melibatkan kebebasan seseorang banduan serta pelaksanaan keputusan institusi diraja, ketelitian setiap dokumen bukan sekadar urusan pentadbiran, sebaliknya mempunyai implikasi undang-undang yang besar.
BACA JUGA Malaysia bukan negara suruhan! Fahmi bangkit isu ‘kolonialisme teknologi’ di pentas dunia