Kecoh pasar raya di Cheras pula jual ayam disyaki tidak disembelih?
Ketika isu premis penyembelihan ayam masih menjadi perhatian, tular pula satu pendedahan di Facebook mendakwa ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Taman Tun Perak, Cheras, berkemungkinan tidak disembelih.
Pengguna Facebook, Shafie Ngah memuat naik pendedahan tersebut, memaparkan beberapa keping gambar ayam yang dijual di premis berkenaan, termasuk gambar bahagian leher ayam yang kelihatan tidak disembelih.
Dalam hantaran itu, Shafie memaklumkan beliau menerima aduan daripada seseorang mengenai penjualan ayam yang dipercayai tidak disembelih di pasar raya terbabit.
“Saya dihubungi oleh seseorang petang ini, mengadu tentang jualan ayam yang mungkin tak disembelih di pasaraya berkenaan,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Beliau turut meminta perhatian orang Islam terhadap perkara itu, selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
“Orang Islam, mohon ambil perhatian.
“Mohon pihak berkuasa juga ambil perhatian & tindakan, @Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya lagi.
Setakat ini, tiada penjelasan rasmi dari pihak berkuasa berhubung status penyembelihan ayam yang dijual di premis tersebut.