Najib sudah boleh balik rumah tapi orang nak ziarah tetap kena minta izin Jabatan Penjara

Walaupun Datuk Seri Najib Razak sudah dibenarkan pulang ke kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, orang ramai termasuk penyokong yang mahu menziarahinya tetap perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Penjara Malaysia terlebih dahulu.

Ini kerana bekas Perdana Menteri yang bergelar banduan itu masih menjalani baki hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, cuma lokasi tahanannya kini bertukar dari Penjara Kajang ke kediaman sendiri.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pelaksanaan tahanan rumah tidak bermakna Najib bebas menerima kunjungan sesiapa sahaja tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Pelawat tetap perlu mendapatkan kebenaran untuk menemuinya,” katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Shafee, pihaknya menjangkakan Jabatan Penjara akan menyediakan prosedur tertentu bagi menguruskan permohonan lawatan ke kediaman Najib.

Beliau berkata, antara kemungkinan ialah penyediaan sistem melalui pos kawalan keselamatan bagi memastikan setiap pelawat mendapat kelulusan sebelum dibenarkan masuk.

Masih belum diketahui

Bagaimanapun, Shafee menjelaskan bahawa tatacara sebenar lawatan masih belum diketahui kerana pihaknya belum menerima perincian lengkap daripada Jabatan Penjara.

Selain soal pelawat, persoalan sama ada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan ahli keluarga lain boleh tinggal bersama beliau turut belum mendapat kepastian.

“Kami tidak begitu pasti, tetapi saya membayangkan kemungkinan besar ahli keluarga dibenarkan, namun mungkin juga tidak. Kami belum tahu,” katanya.

Menurut beliau, segala persoalan itu hanya dapat dijelaskan selepas pihak berkuasa memaklumkan syarat lengkap tahanan rumah yang wajib dipatuhi Najib.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di kediamannya di Jalan Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028, berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah tahanan rumah.

Pada 6 November, Najib telah melunaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, namun pelaksanaan tahanan rumahnya ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat terhadap perintah berkenaan.

Kediaman Najib di Langgak Duta juga telah diisytiharkan secara rasmi sebagai penjara mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995, sekali gus menjadikan rumah tersebut lokasi bekas Presiden Umno itu menjalani hukuman di bawah pengawasan pihak berkuasa.

BACA JUGA Najib dibenar tahanan rumah, Anthony Loke pilih lepaskan kerusi Menteri