Anak Zahid kata Rosmah tak tinggal sebumbung dengan Najib sepanjang tahanan rumah
Persoalan mengenai kehidupan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepanjang menjalani tahanan rumah mula menjadi perhatian selepas beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, yang berkuat kuasa semalam.
Antara perkara yang menjadi persoalan orang ramai ialah sama ada Najib akan tinggal bersama isteri dan anak-anaknya, selain persoalan mengenai peraturan lawatan keluarga serta kebebasan mendapatkan makanan dari luar.
Apa yang menarik, di Threads, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tampil menjawab beberapa perkara berhubung pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Nurulhidayah mendakwa ahli keluarga Najib tidak tinggal bersama beliau, malah Datin Seri Rosmah sendiri tinggal di kediamannya di Pavilion sepanjang tempoh tahanan rumah berkenaan.
“Tak boleh. Rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara anak bini tak ada dalam tu. Anak bini dia bukan tinggal sekali. Datin Seri Rosmah duduk Pavilion,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan seorang pengguna Thredas yang bertanya bagaimana keadaan tahanan rumah dan adakah Najib dibenarkan untuk mendapatkan makanan dari luar sepanjang beliau di rumahnya.
Nurulhidayah turut menjelaskan, lawatan kepada Najib tidak boleh dilakukan sesuka hati, sebaliknya tertakluk kepada waktu yang ditetapkan seperti amalan lawatan di penjara.
Mengenai urusan makanan dan minuman pula, Nurulhidayah berkata perkara itu turut ditentukan oleh pihak penjara.
“Kalau nak melawat pun ada masa lawatan yang ditetapkan seperti orang dalam penjara.
“Oh ya. Makanan minuman semua penjara yang tentukan,” katanya lagi.
Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Pelaksanaan tahanan rumah telah mencetuskan perdebatan awam, khususnya selepas denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib diselesaikan menerusi kutipan solidariti Umno.
Walaupun kaedah tahanan rumah membolehkan baki hukuman dijalani di kediaman sendiri, persoalan mengenai bentuk sekatan dan pemantauan yang dikenakan terhadap seorang banduan dalam keadaan itu terus menjadi perhatian.
Bagi orang ramai, persoalan yang timbul bukan sekadar di mana Najib menjalani hukuman, tetapi juga bagaimana pelaksanaan hukuman tersebut dipastikan mematuhi syarat yang ditetapkan, tanpa mengabaikan prinsip bahawa setiap individu yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut perintah berkuat kuasa.