Berdepan perubahan cuaca, LKIM mahu nelayan ‘turun padang’ ternak ikan pula

Ketika sumber ikan laut semakin berdepan tekanan akibat perubahan cuaca, pembangunan pesisir pantai dan permintaan pengguna yang meningkat, sektor akuakultur dilihat sebagai antara jalan penting untuk memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.

Sehubungan itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempergiat usaha menggalakkan golongan nelayan menceburi bidang penternakan ikan serta aktiviti keusahawanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil tangkapan laut semata-mata.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, transformasi industri perikanan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi pengeluaran, penternakan, pemasaran dan pengurusan sumber secara mampan bagi memastikan sektor itu terus berdaya tahan.

Menurutnya, pembangunan kawasan pesisir pantai turut memberi kesan kepada habitat pembiakan ikan, sekali gus meningkatkan keperluan untuk memperkukuh sumber alternatif melalui aktiviti akuakultur.

“ Sektor akuakultur sebagai sumber alternatif bagi memastikan pengeluaran ikan negara dapat dipertingkat dan tidak terlalu bergantung kepada hasil tangkapan laut oleh nelayan,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun LKIM ke-55 di Dewan LKIM, Pulau Meranti, di sini.

Bagi merealisasikan usaha itu, LKIM memperkenalkan agenda Satu Persatuan, Satu Produk (1P1P) bagi menggalakkan persatuan nelayan di peringkat kawasan dan negeri meneroka bidang akuakultur serta perusahaan berasaskan hasil laut. Setakat ini, sebanyak 13 persatuan nelayan menyertai inisiatif berkenaan dengan sokongan latihan, kepakaran dan bantuan modal.

Faiz berkata, nelayan juga perlu mengembangkan aktiviti ekonomi hiliran kerana pergantungan sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan belum mencukupi untuk meningkatkan taraf hidup mereka secara berterusan.

Menerusi 1P1P, persatuan nelayan digalakkan menghasilkan produk seperti ikan bilis, ikan kering, belacan dan keropok, selain memasarkan sendiri hasil tangkapan bagi memperoleh nilai tambah daripada aktiviti perikanan.

Dalam usaha menambah sumber makanan laut, LKIM turut melaksanakan pembinaan unjam dan tukun tiruan di kawasan terpilih bagi menyediakan habitat serta kawasan pembiakan baharu untuk hidupan marin.

Mengulas keterjaminan bekalan ikan negara, Faiz berkata, Kadar Sara Diri (SSR) ikan ketika ini mencapai 90 peratus, manakala pengeluaran beberapa spesies seperti siakap melebihi keperluan domestik sehingga membolehkan hasil tempatan dieksport ke negara jiran termasuk Thailand. 

Bagaimanapun, negara masih bergantung kepada import bagi spesies tertentu yang mendapat permintaan tinggi seperti ikan kembung, dengan pengimportannya dipantau melalui sistem pelesenan.

Selain memperkukuh pengeluaran, LKIM turut mempergiat transformasi digital menerusi aplikasi MyMinyak bagi memperkemas pengurusan subsidi diesel dan petrol nelayan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak. 

Inovasi itu menggunakan sistem perekodan dan pengesahan masa nyata bagi mengurangkan risiko ketirisan dana awam.

Inisiatif MyMinyak itu turut membolehkan LKIM meraih Anugerah Platinum pada Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Menurut Faiz, sesi libat urus serta latihan turut diberikan, khususnya kepada nelayan berusia yang memerlukan bimbingan untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi digital.

Sambutan ulang tahun ke-55 LKIM itu turut diserikan dengan program Jualan Agro MADANI @ Pasar Nelayan Pulau Meranti yang menawarkan hasil laut segar menerusi promosi ‘Happy Hour’, aktiviti interaktif serta perasmian fasiliti baharu Bawal Lounge di Aras 2, Wisma LKIM. Turut hadir Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr Abdul Salim Tajudin serta barisan pengurusan dan wakil persatuan nelayan.

BACA JUGA Siapa hulur RM50 juta untuk Najib? AMK bimbang sumbangan jadi tiket dapat projek?