Jentera calon PH DUN Asahan maut kemalangan, Anwar titip semangat buat keluarga, ahli seperjuangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah susulan pemergian Samivel, wakil calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang terkorban dalam nahas jalan raya tengah hari tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata, beliau menerima khabar duka dari Melaka berhubung pemergian Samivel yang disifatkannya sebagai individu yang telah lama berkhidmat dan setia dengan perjuangan PKR.
Samivel merupakan Ketua Cabang PKR Alor Gajah, menurut perkongsian Anwar.
Beliau berharap jasa serta semangat mendiang terus menjadi inspirasi kepada rakan seperjuangan untuk meneruskan perjuangan.
“Saya menerima khabar duka dari Melaka. Saudara Samivel, wakil calon HARAPAN bagi DUN Asahan telah terkorban dalam nahas jalan raya tengah hari
“Sebagai Ketua Cabang PKR Alor Gajah, Samivel telah lama berkhidmat dan bersetia dengan perjuangan. Moga jasa dan semangat beliau terus membimbing langkah kita dalam meneruskan perjuangan ini,” titip beliau.
Media hari ini melaporkan kemalangan maut membabitkan J Samivel di Jalan Nyalas, Alor Gajah, Melaka. Laporan media menyebut beliau jentera kempen calon PH bagi DUN Asahan, P. Denesh.
Dalam kejadian itu, mangsa dalam perjalanan ke Pejabat Tanah Alor Gajah sebelum terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori yang membawa muatan buah-buahan.
Mangsa antara individu yang menjadi ‘tulang belakang’ dalam kempen bersama calon, P Denesh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.