Padah buat hantaran jelik terhadap PM, menghina keterlaluan, lelaki dipenjara 3 bulan
Seorang lelaki dipenjara 3 bulan selepas mengaku bersalah membuat hantaran yang jelik melampau sifatnya terhadap Perdana Menteri menerusi Facebook, Mac lepas.
Tertuduh, Mohamed Shazrin Jamil, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin di Mahkamah Sepang hari ini.
Mohamed Shazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran yang didakwa bersifat jelik melampau menerusi akaun Facebook “Shazrin Kedah”, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada kira-kira 6.15 petang, 12 Mac,
Hantaran tersebut menggunakan rujukan kasar dan ucapan bernada kebencian yang boleh menyinggung perasaan serta menjatuhkan maruah Perdana Menteri.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan pencegahan terhadap kesalahan sama.
Beliau berkata, tahap penghinaan dalam komen berkenaan selain penggunaan kata-kata kesat serta sifatnya yang boleh diakses orang awam merupakan faktor pemberatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah.
Katanya, hukuman tegas perlu dijatuhkan bukan sahaja bagi menghalang tertuduh mengulangi kesalahan, malah memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.
Namun begitu, peguam Amer Haiqal Mohd. Yusof merayu hukuman penjara yang lebih singkat dengan mengambil kira keadaan kewangan dan tanggungjawab keluarga anak guamnya.
“Tertuduh kini tidak bekerja dan hanya mempunyai wang RM1,000. Tertuduh menjaga ibu bapanya yang menghidap penyakit batu karang dan diabetes serta ‘tiga serangkai’,” katanya.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh dan lelaki itu dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman tersebut hari ini.