Adly mahu mansuh Adun lantikan untuk jimat kos pentadbiran

Pakatan Harapan (PH) berhasrat memansuhkan peruntukan yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di Melaka sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kos pentadbiran kerajaan negeri, manakala penjimatan yang diperoleh akan disalurkan kepada program bantuan pemilikan rumah untuk golongan belia serta pembangunan usahawan muda.

Menurutnya, cadangan itu merupakan antara tawaran PH menerusi Aspirasi Melaka Rumah Kita yang memberi tumpuan kepada keperluan rakyat, khususnya golongan muda.

“Kita tahu bahawa di Melaka ada tujuh Adun lantikan dalam Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka yang telah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

“Sekiranya rakyat Melaka memberi mandat kepada PH, maka kita akan membatalkan tujuh Adun lantikan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama gabungan itu di Bukit Baru, Melaka.

Selain cadangan memansuhkan jawatan Adun lantikan, Adly berkata PH juga berhasrat membuka semula kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara bagi mengadakan program Hari Bertemu Rakyat secara berkala.

Katanya, program itu pernah dilaksanakan ketika PH mentadbir Melaka pada 2018 dan memberi ruang kepada rakyat bertemu secara langsung dengan pemimpin tertinggi kerajaan negeri untuk menyampaikan aduan serta mendapatkan penyelesaian.

“Hari Bertemu Rakyat pernah dilaksanakan PH ketika mentadbir Melaka pada setiap Jumaat dan sebahagian besar daripada isu yang diadukan rakyat boleh diselesaikan dengan pertemuan antara rakyat dan juga pemimpin tertinggi kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adly yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil merayu pengundi supaya memberikan sokongan kepada calon gabungan itu yang bertanding di 24 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka kali ini.

Beliau berkata sokongan pengundi penting bagi membolehkan calon PH membawa isu rakyat ke DUN, selain memberi peluang kepada gabungan itu melaksanakan tawaran yang dikemukakan dalam manifesto pilihan raya.

“Berikan mereka peluang berkhidmat di DUN Melaka dan kami juga mahu membuktikan keupayaan melalui kerja di kawasan, tindakan di dewan serta mengemukakan dasar-dasar untuk menunaikan tawaran yang telah dibentangkan.

“Undi anda ialah amanah yang tidak akan kami sia-siakan,” katanya.

Adly turut mengingatkan pengundi yang berada di luar Melaka supaya merancang perjalanan pulang lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, 14 November ini.

Beliau juga menggesa pengundi yang menetap di Melaka supaya keluar mengundi seawal mungkin, terutama pada sebelah pagi, berikutan keadaan cuaca di negeri itu yang sering hujan pada waktu petang.

Katanya, pengundi tidak semestinya perlu mengikut waktu keluar mengundi yang dicadangkan dalam maklumat daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebaliknya boleh merancang masa yang sesuai untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

BACA JUGA Dr Dzul rakam kepada pakar HKL selepas tangan anggota polis berjaya disambung semula