ARTIKEL │Zaman Najib Razak – Umno : Berbilion ringgit program ekonomi peneroka FELDA hangus 

RIDHUAN ESA

Apabila Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan FELDA pada 1956, matlamatnya cukup jelas dan praktikal. Hutan dibuka, tanah dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit serta getah, manakala peneroka diberikan peluang membina kehidupan baharu melalui hasil perladangan. Ada pekerjaan, ada pendapatan dan ada harta untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

Namun, apabila tiba zaman pentadbiran Najib Razak-Umno, pengurusan FELDA seolah-olah merasakan kelapa sawit dan getah tidak lagi memadai. Muncullah pelbagai idea tentang “transformasi ekonomi” dan pelaburan berimpak tinggi yang kononnya mahu menjadikan warga peneroka serta generasi baharu lebih kaya.

Atas nama membangunkan ekonomi peneroka, berbilion ringgit wang FELDA daripada hasil saham FGV dan pinjaman telah diperuntukkan serta dibelanjakan. 

Tetapi apabila kita meneliti rekod kewangan dan Laporan Ketua Audit Negara, banyak program ekonomi ini bukan sahaja gagal menjadikan peneroka lebih makmur, malah mengakibatkan ratusan juta, bahkan berbilion ringgit wang agensi terdedah kepada kerugian melalui projek yang dipersoalkan kewajaran dan pelaksanaannya.

Lihat sahaja program Gedung Makanan Negara (GMN). Projek ini diumumkan dengan penuh gah menerusi pelan peruntukan berskala besar antara RM700 juta hingga RM750 juta, kononnya bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

Dengan peruntukan hampir tiga suku bilion ringgit itu, rakyat tentu menyangka tanah rancangan FELDA bakal berubah menjadi kawasan pengeluaran makanan yang besar. 

Namun, rekod kewangan mendedahkan kelemahan penjanaan hasil yang ketara sehingga Laporan Tahunan FELDA merekodkan peruntukan kerugian jangkaan atau expected credit loss bagi GMN sebanyak RM38.6 juta.

Jika kegagalan Gedung Makanan Negara sudah cukup mengecewakan, apa yang berlaku dalam Projek Ternakan Ikan Sturgeon di bawah anak syarikat Felda Caviartive Sdn Bhd pula jauh lebih pelik dan sukar diterima akal.

Peneroka FELDA yang selama ini bergelumang dengan buah kelapa sawit tiba-tiba mahu dijadikan penternak ikan sturgeon, sejenis ikan air sejuk dari luar negara yang telurnya menghasilkan makanan mewah dikenali sebagai caviar, popular dalam kalangan masyarakat Barat.

Projek ikan sturgeon ini dirancang dengan nilai kontrak yang mengelirukan, mencecah antara RM135 juta hingga RM146.25 juta. Akhirnya, tiada sebutir telur caviar pun berjaya dihasilkan di tanah rancangan. Kolam ikan ditinggalkan, pegawai diheret ke mahkamah dan FELDA mencatatkan kerugian nyata sebanyak RM47.6 juta.

Membakar wang

Seolah-olah belum cukup membakar wang dengan projek ikan dari luar negara, pengurusan FELDA pada zaman Najib Razak-Umno mencuba nasib pula dalam perniagaan makanan mewah dan pastri luar negara menerusi Restoran Savaro dan Projek Pastri Schneeballen.

Apakah kaitan peneroka kelapa sawit di Malaysia dengan kuih bebola keras Schneeballen dari Jerman?

Sukar untuk difahami. Yang pasti, projek pastri Schneeballen menelan kos RM6.39 juta bagi pembelian mesin dan pembayaran kontrak sebelum terpaksa ditamatkan.

Pada masa yang sama, FELDA membelanjakan RM8.4 juta untuk membuka lima cawangan Restoran Savaro. Kononnya mahu menceburi perniagaan restoran bertaraf tinggi, tetapi kesemua lima cawangan itu akhirnya gagal bertahan dan ditutup selepas hanya beroperasi selama dua hingga tiga tahun.

Nasib yang sama turut menimpa Felda Herbal Corporation Sdn Bhd. Projek yang kononnya bertujuan memproses bahan herba secara komersial itu gagal memberikan pulangan kepada agensi dan akhirnya ditamatkan selepas empat tahun beroperasi, dengan kerugian terkumpul sebanyak RM7.8 juta.

Di peringkat pengurusan ladang pula, ketika peneroka mengeluh tentang kekurangan buruh penuai dan kelewatan penyata akaun, pihak atasan FELDA begitu bermurah hati menandatangani kontrak teknologi bernilai ratusan juta ringgit yang dipersoalkan manfaatnya.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan FELDA menandatangani 65 kontrak bagi projek Pemerolehan Perkhidmatan LiDAR, iaitu teknologi pemetaan data udara, dengan nilai keseluruhan RM148.42 juta.

Lebih mengejutkan, laporan audit turut membangkitkan bahawa kontrak bernilai RM148.42 juta itu ditandatangani oleh pegawai yang tidak mempunyai kuasa pemutus. Akibat kelemahan perancangan dan pelaksanaan, projek pemetaan tersebut turut mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Tidak cukup dengan itu, diperkenalkan pula Projek Sentuhan Kasih FELDA (SKF) yang menggabungkan pembangunan perumahan generasi baharu dengan infrastruktur pertanian pintar. Kos pembiayaan projek ini mencecah jutaan ringgit mengikut tapak rancangan. Malah, bagi satu tapak di FELDA Palong 16 sahaja, kos projeknya sudah mencapai RM8 juta.

Namun, seperti yang sering berlaku dalam projek-projek besar ketika pentadbiran Najib Razak-Umno, pelaksanaannya tidak semestinya seindah majlis pelancaran. Pertanian pintar gagal menjana pendapatan seperti yang dijanjikan, manakala program perumahan generasi baharu pula berdepan masalah terbengkalai yang kronik.

Akhirnya, siapa yang terpaksa membersihkan segala kekusutan dan menanggung bebannya? Kerajaan selepas itu terpaksa menyediakan suntikan dana tambahan yang besar, termasuk peruntukan RM146.2 juta oleh kementerian, semata-mata untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat projek yang ditinggalkan separuh jalan.

Di sebalik pembaziran ratusan juta ringgit untuk projek ikan sturgeon, pastri Jerman, restoran mewah dan kontrak LiDAR, lihat pula bagaimana pengurusan ketika itu melayan Skim Insentif Usahawan FELDA (SIUF), satu daripada skim yang benar-benar dimanfaatkan peneroka untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Skim pembiayaan kredit untuk usahawan peneroka ini bermula dengan tabung pusingan sebanyak RM50 juta, sebelum menerima suntikan tambahan RM50 juta, menjadikan keseluruhan dana pinjaman berjumlah RM100 juta.

Walaupun skim bernilai RM100 juta inilah yang membantu usahawan dalam kalangan peneroka menggerakkan ekonomi sendiri di tanah rancangan, tabung pembiayaan tersebut akhirnya disekat dan dibekukan apabila kedudukan tunai FELDA mula meruncing pada 2014 akibat masalah kewangan di peringkat pengurusan.

Apabila kita menghimpunkan angka-angka ini, gambaran yang muncul cukup membimbangkan:

  • Gedung Makanan Negara (GMN): Pelan peruntukan antara RM700 juta hingga RM750 juta, dengan peruntukan kerugian jangkaan sebanyak RM38.6 juta.
  • Pemerolehan Perkhidmatan LiDAR: 65 kontrak bernilai RM148.42 juta, dengan isu penandatanganan oleh pegawai tanpa kuasa pemutus serta kerugian akibat kelemahan pelaksanaan.
  • Projek Ikan Sturgeon (Felda Caviartive): Nilai kontrak antara RM135 juta hingga RM146.25 juta, dengan kerugian nyata RM47.6 juta.
  • Skim Insentif Usahawan FELDA (SIUF): Dana pusingan keseluruhan RM100 juta yang akhirnya terjejas ketika kedudukan kewangan agensi meruncing.
  • Projek Sentuhan Kasih FELDA dan perumahan: Kos RM8 juta bagi tapak FELDA Palong 16, selain masalah projek perumahan terbengkalai yang memerlukan peruntukan penyelamatan RM146.2 juta.
  • Restoran Savaro: RM8.4 juta dibelanjakan untuk lima cawangan yang akhirnya ditutup selepas dua hingga tiga tahun.
  • Felda Herbal Corporation: Kerugian terkumpul RM7.8 juta sebelum projek ditamatkan selepas empat tahun.
  • Projek Pastri Schneeballen: RM6.39 juta dibelanjakan untuk mesin dan kontrak sebelum projek dibatalkan.

Kesimpulannya cukup terang. Pada zaman Najib Razak dan Umno, setiap kali program ekonomi bernilai ratusan juta atau berbilion ringgit diumumkan atas nama pembangunan peneroka, persoalannya ialah sejauh mana warga peneroka benar-benar mendapat manfaat daripada pelaburan tersebut.

Yang sepatutnya menjadi keutamaan ialah kesejahteraan peneroka, pembangunan ekonomi generasi baharu dan pengukuhan kedudukan kewangan FELDA. Sebaliknya, banyak projek yang diperkenalkan akhirnya berdepan masalah, menanggung kerugian atau terpaksa ditamatkan.

Pihak yang mendapat kontrak bernilai ratusan juta ringgit mungkin sudah lama berlalu daripada projek berkenaan. Namun, FELDA dan warga peneroka masih perlu menanggung kesan kegagalan serta beban kewangan yang ditinggalkan.

Inilah persoalan besar yang perlu dijawab: berbilion ringgit dibelanjakan atas nama transformasi ekonomi peneroka, tetapi berapa banyak yang benar-benar kembali kepada peneroka?

Kes Altantuya belum berakhir? Mongolia kini desak Putrajaya beri jawapan