Dah dapat tahanan rumah, Najib minta rumah kedua pula?

Belum pun lama menjalani tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan sudah mengemukakan permohonan bertulis untuk menambah sebuah lagi rumah sebagai lokasi menjalani baki hukuman penjara.

Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata permohonan berkenaan tidak dapat dipenuhi kerana perintah pengampunan bersyarat hanya menetapkan satu kediaman untuk tujuan tahanan rumah.

Menurutnya, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan secara khusus menetapkan rumah bernombor 11, Jalan Langgak Duta sebagai lokasi Najib menjalani baki hukuman.

“Buat masa sekarang, kita terikat dengan keputusan Lembaga Pengampunan; rumah itu hanya satu rumah,” katanya.

Justeru, sebarang permohonan untuk menambah lokasi kediaman tidak boleh diluluskan selagi ketetapan sedia ada tidak berubah.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak mendedahkan lokasi rumah kedua yang dimohon oleh bekas presiden Umno itu.

Permohonan tersebut menimbulkan persoalan mengenai skop kemudahan tahanan rumah yang diberikan kepada Najib, khususnya sejauh mana beliau boleh memohon perubahan atau penambahan lokasi sepanjang menjalani hukuman.

Untuk rekod, Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah pada 10 November lalu.

Hukuman berkenaan dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.

Keputusan Lembaga Pengampunan yang menetapkan hanya satu kediaman turut bermakna Najib perlu mematuhi lokasi yang ditentukan sepanjang tempoh tahanan rumah, melainkan terdapat perubahan rasmi terhadap syarat berkenaan.

BACA JUGA Bapa Altantuya mahu Baginda, Azilah dan Sirul ‘teman’ Najib di rumah?