Jawapan anak muda buat Ginie Lim makin yakin tawan Machap Jaya

“Balik!” – jawapan ringkas pengundi muda yang ditemui Datuk Ginie Lim ketika pulang menyambut Deepavali menjadi antara perkembangan yang meningkatkan keyakinan calon Pakatan Harapan (PH) itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya itu berkata, kesediaan anak muda pulang sekali lagi untuk mengundi pada 14 November menunjukkan semangat penyertaan yang menurutnya berbeza berbanding pilihan raya terdahulu.

“Dalam tempoh dua tiga hari ini pun saya telah berjumpa dengan ramai pengundi khususnya anak muda,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Walaupun dia balik masa Deepavali, saya tanya dia, minggu depan hari mengundi balik lagi tak? ‘Balik’, dia kata,” ujarnya.

Ginie berkata, perkembangan itu turut disertai peningkatan penerimaan terhadap PH yang menurut pemerhatiannya dapat dilihat melalui kemunculan lebih banyak bendera parti di kawasan berkenaan.

“Jadi semangat itu memang nampak berbeza. Di kawasan Kada pun kita dapat melihat bendera-bendera kita, kalau sempat boleh tengok sendiri, lain daripada dulu. Cukup lain,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi ADUN Machap Jaya dari 2018 hingga 2021 turut menyandarkan keyakinan kepada rekod perkhidmatannya serta sokongan pimpinan PH yang turun membantu sepanjang kempen.

“Saya yakin kali ini kita boleh menang. Dengan sokongan daripada pimpinan seperti Dr Maszlee dan ramai lagi pimpinan akan turun berkempen dalam dua tiga hari yang baki ini,” katanya.

Menurut Ginie, kerjasama dengan pimpinan PH turut membuka ruang untuk membantu menangani masalah penduduk melalui saluran kerajaan sedia ada, termasuk beberapa isu yang masih tertangguh.

Sementara itu, ADUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, pengalaman Ginie sebagai bekas wakil rakyat memberi kelebihan dari segi pengenalan masyarakat terhadap calon berkenaan.

Maszlee yang mengikuti kempen Ginie sejak hari penamaan calon berkata, beliau mendapati ramai penduduk mengenali bekas ADUN itu, termasuk ketika mereka mengunjungi kampung Melayu dan penempatan Orang Asli.

“Bila saya ikut dia, tengok ramai orang kenal dia. Di kampung, di taman, kalau taman itu kita rasa okey,” katanya.

“Ini di kampung-kampung pun ramai kenal dia. Orang Melayu, baru-baru ini pergi tempat Orang Asli pun ramai kenal dia. Jadi saya rasa mudah sikitlah kempen untuk dia,” tambahnya.

Maszlee berkata, pengalaman serta kemampuan Ginie bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat turut membantu memudahkan gerak kerja kempen PH di kawasan tersebut.

Pada PRN 2018, Ginie memenangi Machap Jaya dengan majoriti 1,336 undi, sebelum kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Ngwe Hee Sem pada 2021 ketika Ginie tidak bertanding.

PRN kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ginie, Ngwe dan calon Parti Bersama Malaysia, Prasanth Kumar Brakasam.

Terdahulu, seramai 342 pengundi awal termasuk tujuh pengundi pos layak mengundi bagi DUN Machap Jaya, manakala keseluruhan PRN Melaka membabitkan 12,531 pengundi awal daripada pasukan keselamatan dan pasangan yang layak.

Pengundian biasa bagi PRN Melaka ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.

BACA JUGA Najib boleh tinggal bersama isteri, anak dan cucu, bagaimana pula banduan biasa?