Kerajaan tegas tak akan kembalikan GST, bukan kerana politik tapi demi rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang boleh membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu bukan didorong atas pertimbangan politik, malah sekiranya benar GST adalah baik untuk rakyat, pasti beliau akan melaksanakannya.

Namun kata beliau, memperkenalkan semula GST ketika pendapatan rakyat masih rendah bukan keputusan yang tepat memandangkan cukai itu bersifat menyeluruh dan boleh menambah beban kos sara hidup.

“Saya bukan dogmatik dalam ekonomi. Sistemnya masih SST, tetapi satu dua penyesuaian supaya perbaiki sistem itu, baik. Mengapa kita tak mahu?

“Saya keras tak mahu GST. Bukan soal politik. Apa politiknya kalau menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat? GST itu cukai kepada semua. SST itu cukai kepada peniaga. Saya memilih untuk cukai kepada peniaga,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata kerajaan terbuka untuk membuat penyesuaian terhadap sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, termasuk menangani isu cukai berganda yang dibangkitkan pihak industri tanpa perlu beralih kepada GST.