Lima amaran Allah terhadap tuduhan zina tanpa saksi, anak saudara isteri Hadi ingatkan pemimpin Pas
Bekas Ketua AMANAH Kawasan Marang, Ustaz Miqdad Zakaria mengingatkan pemimpin Pas supaya menghentikan perangai mengungkit tuduhan liwat terhadap sesama Muslim sebagai senjata politik kerana perbuatan menuduh tanpa bukti membawa ancaman berat sebagaimana disebut dalam al-Quran.
Miqdad yang juga anak saudara kepada seorang daripada isteri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan terdapat lima amaran Allah SWT terhadap perbuatan menuduh seseorang melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi.
Menurutnya, Surah An-Nur ayat 4 menjelaskan tiga akibat terhadap mereka yang membuat tuduhan zina tanpa empat saksi, iaitu hukuman 80 sebatan, penyaksian tidak diterima selama-lamanya dan dikategorikan sebagai golongan fasik.
Beliau berkata, dua lagi ancaman disebut dalam Surah An-Nur ayat 23, iaitu laknat Allah di dunia dan akhirat serta azab yang besar terhadap mereka yang membuat tuduhan sebagaimana dinyatakan dalam ayat berkenaan.

“Inilah lima amaran Allah, bukan amaran parti politik, bukan ancaman manusia dan bukan juga propaganda pilihan raya,” tegasnya menerusi kenyataan terbuka yang turut disalinkan kepada Abdul Hadi.
Miqdad mempersoalkan sampai bila pemimpin politik mahu terus menjadikan maruah seseorang sebagai modal meraih sokongan, sedangkan Islam memberikan peringatan keras terhadap perbuatan mengaibkan manusia.
“Sampai bila maruah seseorang manusia hendak dijadikan modal untuk meraih sokongan politik?” soalnya.
Menghalalkan penghinaan
Dalam masa sama, bekas ahli Pas berkenaan turut mengingatkan bahawa perbezaan fahaman politik bukan alasan untuk menghalalkan penghinaan terhadap sesama Muslim.
Beliau turut menegur sikap sesetengah pemimpin yang lantang membaca ayat al-Quran tetapi seolah-olah tidak takut terhadap akibat daripada kata-kata mereka apabila menyentuh maruah orang lain.
“Ana (Saya) tidak mahu melihat pemimpin yang petah membaca ayat al-Quran, tetapi tidak gentar apabila lidahnya menyentuh maruah manusia,” tegasnya.
Miqdad menegaskan, teguran itu bukan bermaksud seseorang yang melakukan kesalahan perlu dilindungi daripada tindakan undang-undang, sebaliknya segala dakwaan hendaklah dibuktikan melalui proses kehakiman yang adil.
“Biarlah mahkamah menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang dan bukti,” katanya sambil membantah tindakan menjadikan tuduhan seksual sebagai bahan jenaka, sindiran atau serangan politik yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Membenarkan kebencian
Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila agama yang sepatutnya mendidik masyarakat supaya berakhlak mulia dan menjaga kehormatan manusia digunakan untuk membenarkan kebencian terhadap pihak yang berbeza pandangan politik.
Miqdad mengingatkan bahawa kedudukan, pangkat dan jumlah penyokong tidak akan menjadi pelindung seseorang di akhirat apabila setiap perkataan serta perbuatannya di dunia dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
“Jika pernah melakukan kesalahan, bertaubatlah. Jika pernah mengulangi tuduhan tanpa hak, hentikanlah. Jika pernah mengaibkan manusia, berusahalah memperbaiki kesalahan dan memohon kemaafan,” nasihatnya.
Beliau menjelaskan bahawa teguran terbuka itu bukan didorong kebencian terhadap Pas atau mana-mana pemimpin, sebaliknya kerana tidak mahu melihat Islam terus dipersembahkan kepada masyarakat melalui budaya mencela dan membuka aib.
Miqdad mengakhiri kenyataannya dengan peringatan bahawa manusia tidak seharusnya terlalu yakin dengan kedudukan di dunia sehingga melupakan perhitungan akhirat.
“Allah tidak pernah lalai terhadap apa yang kita ucapkan!” tegas Ustaz Miqdad lagi.
BACA JUGA Majlis Peguam cabar kesahan aturan tahanan rumah Najib, dakwa tidak berperlembagaan