Zahid desak Loke letak jawatan, sekarang giliran Zahid dan Umno-BN pula berundur dari Putrajaya
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mempersoal bilakah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu berundur dari Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, Anthony Loke telah pun menunaikan janji politiknya dan kini giliran Zahid serta Umno-BN pula membuktikan bahawa mereka masih mempunyai prinsip dengan berundur dari barisan Kabinet.
Menurut Mahfuz, Umno-BN tidak boleh terus menikmati kuasa dan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa sama berpakat dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN), untuk menjatuhkan kerajaan sama.
“Ini bukan soal perbezaan pendapat atau kebebasan bersuara dalam kerajaan. Ini soal konsistensi dan kejujuran politik.
“Jangan mahu menjadi kerajaan di Putrajaya, tetapi menjadi pembangkang apabila berhadapan dengan PH di medan pilihan raya.
“Bila Zahid dan Umno-BN mahu menunaikan tanggungjawab politik dengan menjelaskan kedudukan mereka dalam Kerajaan MADANI?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz mempersoalkan, jika Umno-BN sudah memilih untuk berpakat dengan Pas dan PN bagi menentang PH, mengapa masih mahu kekal dalam kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan.
“Apakah Umno-BN mahu terus menikmati kuasa kerajaan sambil membantu pihak pembangkang melemahkan dan menjatuhkan kerajaan sendiri?,” soal beliau.
Justeru, beliau berkata, Umno-BN perlu berundur secara sukarela dan bermaruah sekiranya merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan MADANI serta lebih selesa bersama Pas dan PN.
“Saya tidak meminta Perdana Menteri memecat Umno-BN. Sebaliknya, jika Umno-BN merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan MADANI dan lebih selesa bersama Pas serta PN, mereka harus berundur secara sukarela dan bermaruah,” ujar beliau.
Mahfuz turut mengingatkan Zahid supaya tidak hanya menuntut orang lain bertanggungjawab, tetapi mengelak daripada menjawab tanggungjawab partinya sendiri.
“Jangan tunggu dipecat kemudian berlakon menjadi mangsa. Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa politik bukan sekadar soal memegang jawatan dan menikmati kuasa, tetapi juga soal prinsip, kesetiaan dan keberanian memikul akibat daripada keputusan sendiri.
“Anthony Loke sudah menunaikan janji politiknya. Sekarang, Zahid dan Umno-BN pula perlu menjawab. Bila mahu menunaikan tanggungjawab politik mereka?” katanya.