Adly terus cabar BN buktikan dakwaan 97 peratus manifesto telah dilaksana
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mempersoalkan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) telah pun melaksanakan 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
Beliau mencabar supaya BN mengemukakan bukti bertulis bagi membolehkan rakyat menilai pencapaian sebenar kerajaan negeri.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen PRN Melaka, PH berulang kali meminta penjelasan terperinci mengenai status setiap janji manifesto BN, termasuk perkembangan 55 projek yang dilaporkan masih belum bermula setakat Jun 2025.
“Sepanjang kempen ini, kita sentiasa menuntut penjelasan bertulis tentang status setiap janji dan kami turut meminta perkembangan 55 projek yang dilaporkan belum bermula setakat Jun 2025.
“Tanpa bukti yang boleh disemak, angka 97 peratus itu tinggal slogan kempen untuk meraih populariti,” katanya pada sidang media hari ini.
Adly turut mempersoalkan janji mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam manifesto terdahulu yang menurutnya tidak ditunaikan, sebelum sasaran itu dikurangkan kepada 25,000.
“Kalau kita lihat berdasarkan manifesto 2021, peluang pekerjaan dijanjikan 50,000 tetapi tidak tertunai dan sekarang dikurangkan kepada 25,000.
“Begitu juga janji ambulans untuk setiap DUN dalam tempoh satu tahun, ia tidak berlaku. Jadi bagaimana BN boleh mendakwa 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto telah dilaksanakan?,” soal beliau.
Adly berkata BN juga perlu menjelaskan hasil pentadbirannya memandangkan Melaka telah diterajui dua Ketua Menteri daripada gabungan itu dalam satu penggal.
Jelasnya, penilaian terhadap prestasi kerajaan tidak seharusnya bersandarkan peratusan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelaksanaan sebenar setiap janji kepada rakyat.