ARTIKEL | Penjelasan undang-undang boleh ke bar council bawa titah YDPA ke mahkamah
OLEH LIYANA MARZUKI
Ada yang minta saya komen, mengenai tindakan Bar Council mencabar Titah Pengampunan Diraja untuk Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan rumah.
Untuk rekod, ini bukan pertama kali ya. Bar Council dah 3 kali mencabar benda sama.
1. Mencabar Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdulllah (Pahang) mengenai Addendum (Titah Tambahan) Pengampunan Najib Razak.
Dalam kes ini Mahkamah memutuskan Addendum tersebut tidak sah dan tidak berpelembagaan. Ini kerana Addendum itu dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Ini seperti yang saya tulis dan jangka many moons ago.
Yang hairan, Peguam Najib pun menerima keputusan ini kerana mereka tidak teruskan tindakan merayu untuk menukar keputusan Mahkamah.
2. Mencabar Titah Pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah (Pahang) untuk mengurangkan hukuman denda dan penjara Najib. Dikurangkan separuh tempoh penjara dari 12 tahun ke 6 tahun. Dan denda RM210 juta ke RM50 juta sahaja.
Kes ini, keputusan Mahkamah tidak memihak kepada Bar Council. Mahkamah Tinggi putuskan titah itu sah kerana sejajar dengan Perlembagaan. Agong punya kuasa untuk kurangkan hukuman.
Sekarang Bar Council telah rayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan. Kita tunggu sama ada Mahkamah lebih tinggi setuju dengan keputusan ini.
3. Sekarang, Bar Council mencabar pula Titah Pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk beri tahanan rumah.
Ini 50/50 pada saya. Mungkin boleh menang atau tidak.
Ini kerana Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, kuasa YDPA untuk memberi pengampunan hanya terhad kepada 3 perkara:
1. Bebaskan terus dari hukuman (pengampunan penuh)
2. Tangguhkan hukuman (ke masa lain)
3. Ringankan hukuman (dari bentuk hukuman yang lagi berat ke hukuman yang lebih ringan).
Contoh bagi ringankan hukuman:
Dari hukuman mati ke hukuman penjara seumur hidup.
Dari penjara 20 tahun ke 10 tahun.
Isu yang akan diperdebatkan, adakah tahanan rumah itu suatu bentuk hukuman lebih ringan dari hukuman penjara. Tambah lagi undang-undang tahanan rumah ini tidak pernah diperuntukkan dalam undang-undang di Malaysia.
Isu pokoknya, bolehkah YDPA hatta dalam memberikan hukuman lebih ringan, Baginda juga memberikan ampun dalam suatu bentuk hukuman yang tiada punca perundangan.
Itu yang menarik untuk kita saksikan.
Soalan tambahan, adakah bila Bar Council dan mahkamah mencabar atau tidak selari dengan keputusan YDPA ini dikira derhaka?
Jawapannya tidak. Kerana Malaysia tidak amalkan sistem Raja Mutlak, sistem kita ialah Raja Berpelembagaan.
Sama sahaja apabila bekas EXCO Negeri Sembilan cabar Titah Yamtuan N9 di Mahkamah. Atas penarikan perkenan Baginda terhadap EXCO, ke mahkamah juga mereka rujuk. Tak ada pula set-set ini kata ini derhaka. Makanya jangan lah kita dibuai dengan naratif yang ada.
Satu lagi, ada yang tanya. Kenapa pula Peguam Negara (AG) bantah cabaran Bar Council?
Itulah tanggungjawab AGC tuan puan. Mereka penasihat kepada YDPA dan Kerajaan. Selagi mana pendirian mereka ia dibuat sejajar dengan undang-undang, mereka akan cuba pertahankan.
Kalah menang itu biar mahkamah putuskan.
AGC dan penjawat awam ini prinsipnya berkhidmat untuk negara. Bukan kepada mana-mana parti atau pemimpin mereka.
Raja, parti dan pemimpin come and go. Hanya negara yang akan kekal. Untuk dipertahankan.
Malaysia hanya ada satu dalam dunia. Ini satu-satunya negara yang kita ada.
Tugas kita pertahankan ia sampai hujung nyawa. Tanah tumpah anak cucu cicit kita.