Dari roadtax ke ETS, netizen pakat senarai legasi Anthony Loke yang buat hidup rakyat senang

Di sebalik perhatian terhadap isu peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, netizen mula mengimbas kembali pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran beliau di Kementerian Pengangkutan.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, portal WeirdKaya menyenaraikan 12 inisiatif yang dikaitkan dengan kepimpinan Loke, khususnya dalam memudahkan kehidupan rakyat serta memperkukuh sistem pengangkutan negara.

Antara pembaharuan paling dekat dengan rakyat ialah pemansuhan kewajipan mempamerkan pelekat cukai jalan sejak Februari 2023, sekali gus membolehkan pemilik kenderaan menggunakan aplikasi MyJPJ.

Langkah pendigitalan tersebut dianggarkan mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM96 juta setahun.

Dalam sektor pengangkutan awam, projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer yang bermula pada 2016 akhirnya disiapkan ketika pentadbiran beliau.

Perkhidmatan ETS kini membolehkan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru dilakukan seawal empat jam 20 minit, berbanding sekitar tujuh jam sebelum ini.

Pembukaan LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer pada Jun 2026 turut menjadi antara projek pengangkutan yang diketengahkan.

Selain itu, pas perjalanan tanpa had yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 menjadi asas kepada pelaksanaan My50, membolehkan rakyat menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL dengan bayaran RM50 sebulan.

Perkhidmatan Aerotrain KLIA pula kembali beroperasi selepas hampir 28 bulan dihentikan, manakala Rapid KL On-Demand diperluas bagi memudahkan perjalanan pengguna ke stesen pengangkutan awam.

Sistem pembayaran terbuka KTM Komuter turut membolehkan penumpang menggunakan kad debit, kredit dan pembayaran digital.

Dalam aspek keselamatan, kementerian memperkenalkan pelaksanaan alat pengehad kelajuan bagi kenderaan berat serta pindaan undang-undang untuk membanteras perlumbaan haram.

Terminal Bersepadu Gombak yang tertangguh bertahun-tahun turut dibuka pada Mac 2025, sementara projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mendapat kelulusan kerajaan pada 2024.

Perkongsian tersebut memperlihatkan bagaimana pelbagai dasar dan projek pengangkutan sepanjang pentadbiran Loke terus menjadi bahan perbincangan masyarakat.

Daripada urusan memperbaharui cukai jalan sehingga perjalanan menggunakan pengangkutan awam, inisiatif berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia.