10 tahun tunggu, 647 keluarga Sri Pahang akhirnya selangkah ke rumah baharu!
Selepas hampir 10 tahun menunggu, impian penduduk Sri Pahang untuk memiliki kediaman baharu kini semakin hampir menjadi kenyataan apabila proses pengundian dan tawaran unit Residensi Maarof mula dilaksanakan.
Seramai 647 daripada 716 penduduk yang terlibat telah mendaftar bagi menyertai proses pengundian dan tawaran unit berkenaan yang berlangsung di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang turut hadir bersama penduduk berkata, perkembangan itu merupakan satu langkah penting selepas penantian panjang mereka terhadap projek pembangunan semula berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, beliau menghargai kesabaran serta kerjasama penduduk sepanjang proses pembangunan semula yang mengambil masa hampir sedekad.
“Selepas hampir 10 tahun menanti, pastinya hari ini cukup bermakna buat mereka. Impian untuk memiliki kediaman baharu kini semakin hampir menjadi kenyataan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Fahmi berkata, proses pengundian itu menjadi langkah penting sebelum penduduk berkenaan dapat berpindah ke kediaman baharu masing-masing.
Beliau turut memaklumkan Residensi Maarof dijadualkan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh terdekat.
“Insya-Allah, Residensi Maarof dijadual dirasmikan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan DBKL dan semua pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan serta kepentingan penduduk terus diberikan perhatian.
Sebagai wakil rakyat Lembah Pantai, katanya, beliau akan terus memantau perkembangan projek berkenaan sehingga penduduk dapat menikmati kediaman baharu mereka.
Proses pembangunan semula Sri Pahang dan penawaran unit Residensi Maarof itu menjadi perkembangan penting kepada penduduk yang telah menunggu hampir sedekad untuk menikmati persekitaran kediaman baharu.