Rasuah tetap zalim walaupun dilakukan pemimpin Islam, Fadhlina bidas Hadi

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata agama tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan kezaliman, rasuah dan penyelewengan dalam pemerintahan.

Kenyataan bahawa pemerintah Islam yang paling buruk sekalipun tidak sezalim pemerintah bukan Islam mencetuskan teguran Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek yang mengingatkan bahawa keadilan mesti menjadi ukuran kepimpinan tanpa mengira agama seseorang.

Beliau mengecam kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu kerana disifatkan sebagai generalisasi berbahaya yang meletakkan identiti agama mengatasi prinsip keadilan dan integriti.

Menurut Fadhlina, Islam tidak pernah memberikan kekebalan moral kepada mana-mana pemerintah hanya kerana mereka beragama Islam.

Sebaliknya, prinsip al-adl atau keadilan menuntut setiap pemimpin dinilai berdasarkan tindakan dan tanggungjawab mereka tanpa mengira agama, kaum atau kedudukan.

“Rasuah dan penyelewengan tetap merupakan kezaliman yang wajib ditentang,” katanya dalam kenyataan media.

Fadhlina turut melahirkan kebimbangan apabila sentimen agama terus diperalatkan dalam politik sehingga boleh menjejaskan kepercayaan dan hubungan antara masyarakat berbilang agama.

Beliau menegaskan Islam sepatutnya dipertahankan melalui nilai keadilan yang dibawanya, bukannya digunakan sebagai alasan untuk mempertahankan salah laku atau kepentingan politik.

“Islam mesti dipertahankan melalui nilai keadilan yang dibawanya. Bukan dijadikan perisai untuk mewajarkan kezaliman dan ketamakan kuasa,” katanya.

Kenyataan Fadhlina itu menyusul kontroversi ucapan Abdul Hadi ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila Presiden Pas berkenaan dilaporkan berkata, “Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam.”

Ucapan itu kemudian dipertikaikan Pejabat Presiden Pas yang mendakwa laporan media berhubung kenyataan berkenaan mengelirukan dan tidak menggambarkan konteks sebenar ucapan Abdul Hadi.

Bagaimanapun, pertikaian mengenai konteks ucapan itu tidak mengubah persoalan prinsip yang dibangkitkan Fadhlina, iaitu keadilan dan integriti tidak sepatutnya dinilai berdasarkan identiti agama seseorang pemerintah.

Dalam hal ini, pendirian beliau jelas bahawa rasuah dan penyelewengan tetap merupakan kezaliman yang perlu ditentang, tanpa mengira siapa pelakunya.

BACA JUGA 240 pusat mengundi dibuka, SPR sasar 70 peratus keluar mengundi