Kenapa Hadi begitu benci DAP tapi MCA dan Gerakan yang menentang hudud boleh jadi kawan?
Oleh NORMAN RADZUAN
“Dalam sejarah, sejahat-jahat orang Islam tak sezalim bukan Islam,” ia adalah kenyataan Hadi Awang yang tidak putus-putus memainkan is perkauman dgn menunggang agama.
Saya nak tanya betul Hadi belajar benar sejarah atau ambil sejarah di satu pihak ketika Hadi sdg menanamkan kebencian antara kaum.
Baik, mari kita berhujah mengenai kenyataan kontroversi Hadi selepas isu wuduk. Kebimbangan saya ke manakah Hadi hendak membawa orang Melayu jauh menyimpang dari landasan agama yang sebenarnya kerana cita-cita politiknya.
Kenyataan Hadi perlu dinilai daripada tiga sudut utama iaitu fakta sejarah, ajaran Islam dan prinsip keadilan itu sendiri.
Saya ingin bertanya Hadi, siapakah yang membunuh sahabat Rasulullah Saidina Uthman? Seorang lelaki Islam bernama Sudan ibn Humran. Kumpulan pemberontak dan golongan yang kemudiannya dikenali sebagai Khawarij.
Siapa pula yang membunuh Saidina Ali? Saidina Ali dibunuh oleh seorang pelampau Islam daripada golongan Khawarij bernama Abdurrahman bin Muljam al-Muradi.
Kedua sahabat Nabi yang dijamin ke syurga dan juga dikenali sebagai Khulafa al Rasyidin dibunuh oleh orang Islam sendiri bukan orang bukan Islam.
Kita pergi ke dunia moden Islam. Saddam Hussein (Iraq) pemerintah beragama Islam yang bertanggungjawab terhadap penindasan dan pembunuhan orang awam, termasuk serangan kimia terhadap masyarakat Islam Kurdish.
Rejim Nazi pula (bukan Islam) membunuh kira-kira enam juta orang Yahudi yang juga bukan Islam.
Dari peristiwa ini menunjukkan bahawa kekejaman tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan agama seseorang.
Perbandingan tahap kekejaman juga memerlukan ukuran yang jelas, bukan generalisasi berdasarkan identiti agama.
Pelik
Saya pelik sedangkan Hadi tahu ayat Surah al-Ma’idah tetapi kenapa dia tidak mahu membacanya?
“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa.”
Kita lihat maksud ayat ini meletakkan keadilan sebagai prinsip mesti dipertahankan walaupun terhadap golongan yang tidak disukai.
Namun, di sini Hadi tidak suka DAP kerana seteru politi. Kamu tunggang dengan naratif agama, ‘Dalam sejarah, sejahat-jahat orang Islam tidak sezalim bukan Islam.’
Padahal, dalam sejarah yang saya tulis di atas sudah cukup membuktikan zalim itu bukan kerana berbeza agama.
Identiti seseorang itu Islam tidak menjadikan sesuatu perbuatan zalim itu kurang zalim, sebagaimana identiti bukan Islam tidak menjadikan seseorang itu secara automatik lebih zalim.
Rumusan kepada kenyataan Hadi, jika seorang pemerintah Islam melakukan rasuah, menindas rakyat atau membunuh org tidak bersalah, adakah perbuatannya menjadi kurang zalim kerana agamanya?
Sebaliknya, jika seorang pemerintah bukan Islam menjaga kebajikan rakyat, menolak rasuah dan melindungi kebebasan beragama, atas asas apakah dia dianggap lebih zalim?
Islam mengajar bahawa keadilan dinilai melalui tindakan, bukan sekadar identiti agama seseorang.
Sebab itu, Allah suruh kita menggunakan anugerah terbaik daripada-Nya iaitu akal. Kita orang Melayu kena berfikir kritis agar tidak mudah diperbodohkan lagi.
Prinsip yang lebih tepat untuk kita sama-sama amalkan ialah “Kezaliman tetap kezaliman walaupun dilakukan oleh orang Islam. Keadilan tetap keadilan walaupun dilaksanakan oleh orang bukan Islam.”
Malaysia akan mengalami zaman kegelapan jika Pas menjadi kerajaan. Ia ada banyak persamaan sepertimana berlaku zaman kegelapan Eropah.
Salah satu faktornya ialah di Eropah ketika itu telah dikongkong oleh golongan gereja. Pihak gereja menggunakan agama menekan rakyat dan pimpinan gereja pula hidup senang lenang hasil ugutan kepada rakyat atas nama agama.
Apakah antara langkah diambil utk Eropah keluar dari zaman kegelapannya? Antara yang dilakukan ketika itu mereka galakkan rakyat menimba ilmu untuk mengubah kehidupan. Menggunakan ilmu untuk memajukan bangsa.
Malangnya di negara kita yang berilmu mereka ambil kesempatan memperbodohkan rakyat utk merompak harta rakyat.
Sebab itu saya katakan Robin Hood itu jika benar sejarahnya walaupun bukan Islam jauh lebih baik dari org Islam.
Robin Hood merompak harta orang kaya untuk diberikan kepada orang miskin tetapi di negara kita orang kaya merompak milik orang miskin untuk diberikan kepada orang kaya.
Inilah zaman edan, apabila orang kaya yang merompak hak milik orang miskin, orang miskin pula sanggup menderma untuk membebaskan orang kaya dari dipenjarakan.
BACA JUGA Kalah di Melaka, Bersama berdepan dua pandangan: Bubar atau teruskan perjuangan?