Selepas keputusan PRN Melaka, AMANAH gesa PH berani tentukan siapa kawan dan siapa lawan
Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya lebih berani dan tegas menentukan siapa kawan dan siapa lawan dalam politik susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang menyaksikan gabungan itu gagal merampas pentadbiran negeri.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat gambaran jelas mengenai hala tuju perjuangan PH, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Pakatan Harapan perlu berani dan tegas memilih siapa kawan dan siapa lawan dalam politik supaya rakyat jelas tentang perjuangan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa supaya agenda ‘khemah besar’ dimulakan segera bagi membolehkan PH membina kerjasama lebih luas dengan parti-parti berteraskan Melayu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut Faiz, keputusan PRN Melaka perlu dijadikan peringatan serius kepada kepimpinan PH untuk menilai semula pendekatan politik, khususnya strategi menghadapi kerjasama antara Pas dan Umno.
Beliau berpendapat kekalahan PH bukan berpunca daripada penolakan rakyat terhadap dasar perjuangan gabungan itu, sebaliknya akibat penyatuan undi penyokong Pas dan Umno melalui agenda penyatuan umat.
“Berasaskan kepada jumlah undi yang diperolehi parti-parti bertanding, jelas kekalahan Pakatan Harapan bukan kerana penolakan terhadap dasar perjuangan yang dibawa Pakatan Harapan, tetapi disebabkan gabungan undi Pas dan Umno yang memanipulasi agenda penyatuan umat,” katanya.
Peningkatan jumlah undi
Dalam pada itu, Faiz berkata, peningkatan jumlah undi yang diperoleh PH menunjukkan masih terdapat sokongan terhadap perjuangan gabungan tersebut yang berteraskan politik nilai, khidmat baik dan pentadbiran bersih.
Beliau berkata, PH juga perlu memberikan perhatian lebih besar kepada pengundi muda yang disifatkannya sebagai segmen penting untuk didekati jika gabungan itu mahu memperkukuh kedudukan menjelang PRU16.
Selain memperluas kerjasama politik, beliau mahu unit komunikasi dan strategi PH ditambah baik supaya dasar perjuangan serta pencapaian pentadbiran Kerajaan Persekutuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.
“Inilah wake up call yang perlu dilihat secara serius oleh Pakatan Harapan,” tegasnya sambil mengingatkan bahawa keputusan di Melaka tidak harus dipandang ringan.
Faiz turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera PH, khususnya ahli dan penyokong AMANAH yang telah mengorbankan masa, tenaga serta wang ringgit sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang terus memberikan kepercayaan kepada PH meskipun keputusan kali ini tidak memihak kepada gabungan berkenaan.
PRN Melaka yang berlangsung semalam menyaksikan PH memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 21 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.
Keputusan tersebut menyaksikan gabungan BN-PN menguasai 24 kerusi, sekali gus meletakkan PH dalam posisi pembangkang dengan empat wakil rakyat kesemuanya dari DAP bagi penggal baharu Dewan Undangan Negeri Melaka.
BACA JUGA Ab Rauf angkat sumpah penggal kedua, pembahagian kuasa BN-PN kini jadi tanda tanya