PH tumpu olah resipi baharu perluas sokongan rakyat
Pakatan Harapan (PH) akan menumpukan usaha merangka penjajaran politik baharu bagi memperkukuh peluang gabungan itu membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan itu perlu memikirkan pendekatan politik yang lebih menyeluruh bagi memastikan usaha memperluas sokongan rakyat dapat diteruskan.
Beliau berkata, meskipun analisis awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan perkembangan positif dari segi pertambahan undi, namun pencapaian semasa masih belum mencukupi.
“Ya, saya telah lihat analisis awal. Ada beberapa pertambahan yang agak positif kepada PH khususnya peningkatan undi Melayu.
“Namun, belum cukup kerana ia bukan soal gabungan atau sokongan kepada gabungan, tetapi bagaimana penjajaran politik harus difikirkan untuk membentuk sebuah kerajaan.
“Peningkatan itu merupakan gelombang positif dan kita (PH) yakin masih ada masa untuk giatkan dan kembangkan lagi pada masa depan untuk kejayaan kita bersama,” katanya malam tadi.
Amirudin berkata, PH yakin masih mempunyai masa untuk memperluas sokongan dan memperkukuh strategi politik sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, realiti politik negara masa kini membuktikan kejayaan pembentukan kerajaan tidak lagi bergantung kepada kerjasama antara parti semata-mata, sebaliknya menuntut kesepakatan antara gabungan politik.
Beliau berkata, sokongan terhadap gabungan itu kekal dan terdapat pertambahan di beberapa kawasan, termasuk peningkatan undi yang diraih Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, iaitu daripada 6,805 undi (2021) kepada 8,698 undi (2026) meskipun tewas.