Surat boleh ditarik balik tapi siapa boleh jamin kepercayaan tak akan dikhianati lagi? – Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan langkah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menarik balik surat bertarikh 17 September kepada Majlis Raja-Raja dan menyatakan semula sokongan kepada Tuanku Muhriz sebagai langkah pembetulan kesilapan pengkhianatan sebelum ini.

Beliau berkata, penarikan balik surat berkenaan tidak bermakna seluruh krisis kepercayaan yang berlaku secara automatik selesai, sebaliknya beberapa persoalan masih perlu dijawab oleh Menteri Besar secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan.

Antara persoalan utama ialah sebab perubahan pendirian kerajaan negeri yang sebelum ini mengambil pendirian mencabar kedudukan Tuanku Muhriz, tetapi kini menarik balik surat berkenaan dan mengesahkan semula sokongan kepada baginda.

“Apakah yang menyebabkan perubahan pendirian ini? Adakah kerana kesedaran bahawa tindakan terdahulu tidak wajar, kerana perkembangan undang-undang, atau kerana teguran Majlis Raja-Raja Melayu?

“Kedua, bagaimana pula dengan dakwaan Menteri Besar bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sehingga membuat laporan polis?

“Ini bukan perkara kecil. Pada peringkat awal, beliau mendakwa tandatangannya diperoleh di bawah paksaan dan membawa perkara itu kepada pihak polis. Sekarang, beliau bersama 10 bekas Exco menarik balik surat dan mengesahkan semula sokongan kepada Tuanku Muhriz,” ujar beliau dalam kenyataan pagi ini.

Mahfuz berkata, Ismail perlu menjelaskan siapa yang memaksa beliau menurunkan tandatangan dan apakah perkembangan laporan polis yang dibuat.

“Jika benar beliau dipaksa, siapa yang memaksanya dan apakah bentuk paksaan tersebut? Apakah perkembangan laporan polis yang dibuat?

“Jika dakwaan paksaan itu tidak lagi menjadi pendirian beliau, apakah penjelasan terhadap laporan polis tersebut?

“Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa laporan polis itu palsu atau dakwaan paksaan itu direka-reka. Tetapi Menteri Besar wajib menjelaskan perkara ini kerana beliau sendiri yang membuat dakwaan dan laporan tersebut,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Mahfuz mempersoalkan sama ada penarikan balik surat tersebut memadai untuk memulihkan kepercayaan yang terjejas serta memastikan perkara sama tidak berulang.

Beliau berkata, langkah konkrit perlu diambil bagi memastikan hubungan antara Istana, Menteri Besar dan pentadbiran negeri kembali berasaskan rasa hormat, amanah dan kepercayaan.

Katanya, Menteri Besar sepatutnya menjadi penghubung antara Istana dengan kerajaan negeri, bukannya membiarkan kepercayaan terhadap hubungan berkenaan terjejas.

Mahfuz turut menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kesan krisis itu perlu memberikan penjelasan, mengambil kira pertikaian yang melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, pelantikan dan pembatalan pelantikan Exco, penggantungan pegawai kanan kerajaan negeri serta tindakan undang-undang yang menyusul.

“Siapa yang bertanggungjawab terhadap segala kesan krisis ini? Kita tidak boleh melupakan episod pertikaian ini.

“Semua ini bukan pertelingkahan kecil antara individu. Ia melibatkan kewibawaan institusi Raja, kestabilan pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri,” kata beliau.

Justeru, beliau menegaskan bahawa isu berkenaan perlu dilihat sebagai usaha mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, keluhuran Perlembagaan dan kestabilan Negeri Sembilan, bukannya soal mempertahankan mana-mana individu atau parti politik.