Akmal jangan main angka RM4.67 juta, dasar RM1,000 itu wujud sejak 2021

Timbalan Ketua Penerangan PKR Cabang Bandar Tun Razak, Muhamad Taufiq Iskandar membidas Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, dengan menegaskan bahawa pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 tidak boleh dilihat berdasarkan angka semata-mata tanpa memahami sebab dan tujuan keputusan tersebut dibuat.

Beliau menegaskan, kelulusan berkenaan bukan pemberian tanah kepada mana-mana pihak, sebaliknya pembaharuan pajakan selama 99 tahun berikutan pajakan asal yang akan tamat pada 2027.

Malah, katanya, bangunan KLSCAH telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan sejak 2007, justeru usaha memeliharanya tidak sepatutnya diputar menjadi polemik politik.

“Pada saya, Akmal tidak boleh melihat perkara ini berdasarkan angka semata-mata tanpa memahami sebab dan tujuan keputusan tersebut dibuat.

“Pertama, kerajaan bukan memberikan tanah itu kepada mana-mana pihak. Apa yang diluluskan ialah pembaharuan pajakan selama 99 tahun kerana pajakan asal akan tamat pada tahun 2027.

“Kedua, angka RM4.67 juta itu merupakan penilaian premium berdasarkan kategori tanah sebelum ini. Apabila kegunaan tanah ditetapkan sebagai institusi warisan dan tidak lagi untuk pembangunan komersial seperti kondominium atau pusat beli-belah, kadar premium juga perlu mengambil kira perubahan tersebut.

“Ini tidak bermaksud tanah itu langsung tiada nilai. Kerajaan masih mengenakan sewa tahunan sebanyak RM3,151 dan sekiranya tanah itu mahu ditukar semula kepada kegunaan komersial, penilaian serta premium baharu perlu dibuat,” jelas beliau.

Taufiq turut mempersoalkan mengapa Akmal hanya membangkitkan isu kadar premium itu tanpa menjelaskan bahawa dasar premium nominal RM1,000 berkenaan telah wujud sejak 2021.

Menurutnya, dasar tersebut bukan diperkenalkan ketika Hannah Yeoh menjadi menteri, malah menteri Wilayah ketika dasar itu diwujudkan bukan daripada DAP.

Beliau berkata, kadar premium juga perlu mengambil kira kategori dan kegunaan tanah, termasuk apabila tanah berkenaan ditetapkan untuk institusi warisan dan bukannya pembangunan komersial.

“Saya ingin ingatkan bahawa kadar premium nominal RM1,000 ini bukan baru diperkenalkan pada zaman Hannah Yeoh. Dasar ini sudah wujud sejak tahun 2021.

“Menteri Wilayah ketika itu juga bukan daripada DAP. Jadi, mengapa perkara yang sama tidak dipersoalkan dengan nada yang serupa sebelum ini?” soalnya.

Dalam pada itu, Taufiq menegaskan isu berkenaan tidak wajar ditarik ke arah sentimen perkauman semata-mata hanya kerana nama dewan itu merujuk kepada masyarakat Cina, kerana KLSCAH turut digunakan untuk pelbagai program masyarakat, termasuk forum berkaitan hudud anjuran Pas pada 2014.

Beliau turut mengingatkan bahawa bangunan yang hampir berusia 100 tahun memerlukan kos penyelenggaraan, manakala tanah berkenaan masih dikenakan sewa tahunan sebanyak RM3,151.

“Pas sendiri pernah mengadakan forum berkaitan hudud di dewan tersebut pada tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa dewan berkenaan bukan hanya menjadi tempat untuk satu kaum, malah turut membuka ruang kepada perbincangan pelbagai pihak.

“Jika premium dikenakan terlalu tinggi sehingga pertubuhan tidak mampu membayarnya, akhirnya bangunan tersebut mungkin terpaksa diserahkan semula kepada kerajaan mengikut syarat pajakan,” katanya.

Taufiq turut menegaskan bahawa usaha memelihara warisan masyarakat lain tidak bermakna warisan Melayu diketepikan.

Beliau berkata, antara usaha yang sedang diberi perhatian ialah kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap cadangan menjadikan dua kampung di Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu, selain pertimbangan kadar premium khas bagi masjid dan rumah ibadat untuk kegunaan institusi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Akmal supaya menilai keputusan kerajaan berdasarkan keseluruhan fakta dan bukannya menumpukan satu angka sehingga mencetuskan salah faham antara kaum.

“Saya tidak ada masalah jika Akmal mahu bertanya atau mempersoalkan keputusan kerajaan. Itu hak beliau. Tetapi biarlah persoalan tersebut mengambil kira keseluruhan fakta, bukan hanya melihat angka RM4.67 juta dan terus membuat kesimpulan.

“Jangan sampai perkara yang sepatutnya menjadi usaha bersama untuk menjaga warisan negara akhirnya dijadikan modal politik dan menimbulkan salah faham antara kaum,” kata beliau.