Ismail Lasim tak pernah letak jawatan, serah surat kepada Istana pun tidak?
Pengumuman peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim semalam sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sepatutnya menutup segala persoalan, namun kini ia membuka satu lagi tanda tanya yang lebih besar.
Ia selepas wujud dakwaan bahawa ADUN Juasseh itu sebenarnya tidak pernah meletakkan jawatannya.
Menurut Malaysiakini yang memetik sumber yang enggan namanya didedahkan, sebenarnya sehingga kini tiada sebarang surat peletakan jawatan diserahkan kepada pihak istana.
“Setakat ini, perkara itu (peletakan jawatan) tidak berlaku. Beliau tidak meletak jawatan atau menyerahkan sebarang surat kepada pihak istana,” dakwa sumber itu seperti dilapor.
Pendedahan itu sekali gus menimbulkan spekulasi baharu – jika benar Ismail tidak menghantar sebarang surat, siapa sebenarnya yang menghantar surat berkenaan?
Ia juga menimbulkan persoalan sama ada pengumuman semalam dibuat berdasarkan kerelaan atau wujud pihak lain yang bertindak di sebalik tabir yang memberi tekanan kepada beliau.
Terdahulu petang tadi, anak kepada Ismail Lasim mempersoalkan siapa sebenarnya yang membuat kenyataan peletakan jawatan bapanya, sambil mendakwa bapanya telah menjadi kambing hitam Umno.
“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan, atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?
“Dari awal segala arahan parti dipatuhi. Apa sahaja keputusan parti semuanya ikut. Tetapi akhirnya macam ni jadi. Belum apa-apa selesai dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri,” menurut hantaran dibuat anak Ismail.
Malam tadi, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Ismail.
Menurut Zambry, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan menteri besar itu yang bertarikh 16 Nov dan ditujukan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, pagi tadi Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pihak istana masih belum mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan tersebut.