Khalid Abd Samad minta PMX jangan lepaskan Anthony Loke
Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan tidak wajar diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika kerajaan perpaduan berdepan kemungkinan tindakan provokasi politik daripada menteri dan timbalan menteri Umno/BN.
Pandangan itu disuarakan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad yang berpendapat khidmat Anthony masih diperlukan bagi memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik sehingga Parlimen dibubarkan.
Dalam kenyataan media hari ini, Khalid berkata keputusan menolak peletakan jawatan itu perlu dibuat berdasarkan kepentingan kerajaan, khususnya dalam menghadapi perkembangan politik semasa.
Menurutnya, kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) kebelakangan ini dijangka mendorong menteri dan timbalan menteri daripada parti itu melakukan tindakan provokasi bagi memaksa Anwar membubarkan Parlimen.
“Dalam suasana sebegini, saya ingin mencadangkan supaya PMX menolak peletakan jawatan YB Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan kerana PMX memerlukan semua menteri dan timbalan menteri yang berprestasi serta berkelakuan baik untuk terus bekerjasama dengan beliau,” katanya.
Khalid berkata Anthony telah menjalankan tugas dengan baik sejak dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, selain melaksanakan dasar yang memudahkan kehidupan rakyat tanpa melakukan tindakan yang disifatkannya sebagai khianat atau ‘sakau’.
Beliau turut mendakwa Anthony tidak berbelanja secara berlebihan melebihi bajet yang diluluskan kerajaan, berbeza dengan menteri tertentu yang tidak dinamakan dalam kenyataan itu.
“Walaupun saya memahami dan menghormati tujuan YB Loke meletakkan jawatan, hakikatnya PMX memerlukan khidmat beliau dalam suasana yang mencabar ini. Keperluan tersebut mengatasi pertimbangan lain,” katanya.
Sehubungan itu, Khalid menyeru Anwar supaya mengarahkan Anthony meneruskan tugas sehingga tamat penggal Parlimen, selain memantau prestasi menteri dan timbalan menteri daripada Umno/BN.
Katanya, mana-mana anggota pentadbiran yang didapati mengkhianati amanah atau tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugas boleh digantikan dengan individu yang lebih komited dan bertanggungjawab.
BACA JUGA Pelantikan wakil Gerakan sebagai ADUN Terengganu cetus persoalan pendirian Pas mengenai hudud