Malaysia, Perancis meterai 7 dokumen kerjasama ‘mega’, dari pertahanan ke mineral kritikal
Malaysia dan Perancis memeterai tujuh dokumen kerjasama merangkumi pertahanan, tenaga, mineral kritikal dan keselamatan serantau, sempena lawatan rasmi Presiden Emmanuel Macron ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dokumen berkenaan ditukar sejurus selesai mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin, yang turut menyaksikan pertukaran berkenaan.
Antara dokumen utama ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Peralihan Tenaga dan MoU Kerjasama Mineral Kritikal, selain Pelan Hala Tuju Bilateral Keupayaan Pertahanan dan Kerjasama Industri Pertahanan serta Perjanjian Keselamatan bagi Dokumen Sulit Kerjasama Pertahanan.
Turut dimeterai ialah Surat Hasrat (LoI) Pembangunan Pusat Serantau Bagi Menangani Ancaman Hibrid dan LoI Perolehan Helikopter Tempur dan Penyelamat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Fasa 1, serta MoU Kerjasama Strategik Pembangunan dan Pelaksanaan Projek SALAM.
Dalam sidang media bersama, Anwar berkata kerjasama pertahanan, perdagangan dan pelaburan menjadi antara tumpuan utama perbincangan, dengan kerjasama antara PETRONAS dan TotalEnergies kini merangkumi projek berskala besar di Asia, Afrika dan Amerika Utara.
Bagi kerjasama mineral kritikal, Anwar mengalu-alukan komitmen Perancis untuk bekerjasama dalam pemprosesan, namun menegaskan ia mesti disertai pemindahan teknologi dan latihan bagi membolehkan Malaysia membina kepakarannya sendiri.
Anwar turut mengajak Perancis menyokong pembangunan Grid Tenaga ASEAN, termasuk cadangan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.
Selain itu, Anwar berkata beliau berkongsi rasa kagum terhadap penghormatan rakyat Perancis kepada tokoh sastera Victor Hugo, dan berharap kerjasama pertukaran ilmu dan budaya antara kedua-dua negara dapat terus dipererat.
Dalam isu antarabangsa, Anwar menghargai ketegasan Perancis menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Mengenai konflik Ukraine, beliau menegaskan pendirian Malaysia yang menolak pencerobohan Rusia dan akan terus berdialog dengan kepimpinan negara itu.