MCA senada DAP pertahan KLSCAH, jangan politikkan tapak warisan dengan isu kaum

MCA nampaknya senada dengan DAP apabila mempertahankan keputusan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium RM1,000.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, keputusan berkenaan adalah munasabah, berasas dan sah di sisi undang-undang kerana KLSCAH merupakan bangunan bersejarah yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

Beliau menggesa Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan semua pihak supaya menilai keputusan kerajaan berdasarkan kepentingan warisan negara, bukannya sentimen kaum atau politik.

“Pembaharuan pajakan KLSCAH tidak ada kaitan dengan kaum atau latar belakang komuniti organisasi itu.

”Perkara ini pada asasnya mengenai tanggungjawab kerajaan untuk melindungi sebuah mercu tanda bersejarah yang telah diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada warisan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sin Woon berkata, KLSCAH yang diasaskan pada 1923 mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan politik dan masyarakat majmuk negara.

Bangunan ikonik itu siap dibina pada 1934, manakala geran tanahnya diberikan oleh Sultan Selangor yang turut merasmikan pembukaan bangunan berkenaan.

Pada 6 Julai 2007, bangunan itu diiktiraf sebagai antara Tapak Warisan Kebangsaan terawal oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Menurutnya, KLSCAH bukan sekadar bangunan bersejarah, malah menjadi saksi perkembangan politik Malaysia dan kerjasama antara masyarakat berbilang kaum.

Malah, MCA sendiri ditubuhkan di bangunan berkenaan pada 27 Februari 1949.

Sin Woon turut membangkitkan satu lagi catatan sejarah apabila bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood menjadi pasangan Melayu pertama mengadakan majlis perkahwinan di KLSCAH pada 4 September 1965.

Mengulas perubahan kategori penggunaan tanah kepada institusi, beliau berkata, KLSCAH secara sukarela bersetuju menukar status tanah berkenaan bagi memastikan nilai warisannya terus dipelihara.

Jelas beliau, keputusan itu menyebabkan KLSCAH melepaskan potensi komersial tanah berkenaan yang boleh dibangunkan untuk projek kondominium bertingkat tinggi atau pusat beli-belah.

Sehubungan itu, Sin Woon meminta semua pihak menghormati pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap KLSCAH sebagai tapak warisan negara.

“Pemeliharaan warisan tidak boleh dibuat secara terpilih atau ditentukan oleh sentimen politik.

“Setiap tapak yang diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, tanpa mengira asal-usul atau latar belakang sejarahnya, wajar menerima sokongan dan perlindungan kerajaan yang sewajarnya.

“Warisan negara milik semua rakyat Malaysia. Melindunginya adalah tanggungjawab bersama, bukannya pertandingan kaum atau politik,” katanya.