Nazri mahu kembali ke Padang Rengas, Azhari enggan berganjak berpotensi jadi medan pertembungan BN-PN

Hasrat bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz untuk kembali bertanding pada PRU16 berdepan cabaran apabila penyandang kerusi itu, Azahari Hasan menegaskan tidak akan menyerahkan kerusi berkenaan kepada Barisan Nasional (BN).

Pertembungan tuntutan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi berlaku di Parlimen Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) apabila kedua-dua pihak mula menunjukkan pendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Memetik laporan Free Malaysia Today(FMT), penyandangnya, Azahari Hasan menegaskan beliau akan terus mempertahankan kerusi itu atas tiket PN meskipun kini bukan lagi anggota Bersatu selepas dipecat pada Februari lalu.

Azahari yang menyertai Parti Wawasan berkata, parti itu berada dalam PN dan beliau mempunyai kedudukan sebagai penyandang yang wajar dipertahankan berdasarkan keputusan pilihan raya lalu.

“Walaupun sekarang Wawasan, kita akan pertahankan kerusi penyandang. Sebab Wawasan di bawah PN, jadi saya akan bertanding balik atas tiket PN.

“Takkan kita mudah-mudah nak serah balik pada BN begitu,” katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Azahari tidak bercadang memberi laluan kepada Nazri, yang pernah mewakili Padang Rengas selama empat penggal dari 2004 hingga 2022.

Nazri sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali bertanding di kawasan itu dengan alasan Padang Rengas merupakan kerusi tradisi BN, malah meminta PN mencari kawasan lain sekiranya mahu bertanding pada PRU16.

Bagaimanapun, Azahari berkata hasrat bekas menteri itu sudah diperkatakan sejak tahun lalu, namun Nazri tidak pernah menyampaikan hasrat berkenaan secara peribadi kepadanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dirinya juga mempunyai kedudukan sebagai ketua bahagian Wawasan Padang Rengas, sama seperti Nazri yang masih mengetuai Umno bahagian berkenaan.

“Dia ketua bahagian. Saya pun ketua bahagian Wawasan. Jadi kita pun sama juga kita pun akan pertahankan,” katanya.

Pada PRU15, Azahari yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional berjaya menewaskan calon BN, Ariff Abdul Majid dengan majoriti 3,046 undi.

Azahari berkata, pengalamannya berkhidmat hampir empat tahun di kawasan itu tanpa meninggalkan Padang Rengas turut mengukuhkan pendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan hasrat Nazri untuk kembali bertanding sebagai pandangan peribadi dan bukannya keputusan rasmi kepimpinan BN.

“Dia punya (hasrat) suara peribadi, bukan mewakili pimpinan tertinggi BN… keputusan akhir parti yang buat,” katanya.

Mengulas kemungkinan kedua-dua pihak mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan pertindihan tuntutan itu, Azahari berkata belum ada sebarang perbincangan dibuat setakat ini.

Sebaliknya, beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada kepimpinan tertinggi BN dan PN untuk menentukan pembahagian kerusi sekiranya berlaku rundingan menjelang PRU16.

“Yang itu kita serah kepada pimpinan atasan. Sebab kalau kita bertemu di bawah ini dia tak boleh buat kata putus,” katanya.

Menurut Azahari, presiden Wawasan(Datuk Seri Hamzah Zainuddin) sebelum ini turut menyatakan pendirian untuk mempertahankan 19 kerusi Parlimen yang pernah ditandingi atas tiket Bersatu, termasuk Padang Rengas, berasaskan prinsip mengekalkan penyandang.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi menerusi rundingan antara BN dan PN, meskipun berpendapat penyandang sedia ada lebih wajar dikekalkan.

“Ataupun ‘worst to worst’ mungkin ada ‘swap’ lah. Walaupun ‘swap’, tapi ‘better incumbent’ ni kita kekalkan,” katanya.

Perkembangan itu meletakkan Padang Rengas dalam senarai kerusi yang berpotensi mencetuskan rundingan sukar antara BN dan PN, khususnya jika kedua-dua gabungan gagal mencapai persetujuan mengenai calon dan kawasan yang mahu ditandingi.

Jika pendirian masing-masing terus kekal, Padang Rengas bukan sahaja menjadi perebutan antara dua tokoh politik, malah boleh menguji sejauh mana kerjasama atau rundingan pilihan raya antara kedua-dua gabungan mampu mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

BACA JUGA Pantun ‘kencing’ malukan diri sendiri, MP PH tegur Ahmad Maslan berpantun sokong BN–PN