ARTIKEL │Makanan adalah kedaulatan negara : Kita perlu berubah daripada negara pengimport
SHEIKH OMAR ALI
Malaysia sebuah negara yang kaya dengan sumber alam. Tanahnya subur, iklimnya sesuai untuk pelbagai jenis tanaman, mempunyai kawasan perikanan yang luas serta sumber manusia yang berpengalaman dalam sektor pertanian.
Namun, di sebalik segala kelebihan ini, kita masih berhadapan dengan satu persoalan besar: sejauh manakah Malaysia benar-benar mampu menghasilkan makanan sendiri untuk memenuhi keperluan rakyat?
Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pasaran antarabangsa untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
Mengimport makanan bukanlah sesuatu yang salah. Dalam dunia perdagangan terbuka, setiap negara mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Perdagangan antarabangsa juga merupakan sebahagian daripada sistem keterjaminan makanan global.
Tetapi persoalannya, sejauh manakah kebergantungan kita kepada import boleh dianggap selamat, khususnya apabila dunia berhadapan dengan konflik geopolitik, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan ekonomi global?
Inilah perkara yang perlu diberikan perhatian serius oleh Malaysia.
Keterjaminan makanan atau food security tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab sebuah kementerian semata-mata.
Ia merupakan isu keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Bayangkan jika berlaku konflik besar yang menjejaskan laluan perdagangan antarabangsa. Bagaimana jika negara pengeksport utama mengenakan sekatan eksport makanan bagi melindungi keperluan rakyat mereka sendiri?
Bagaimana pula jika perubahan iklim menyebabkan negara pengeluar berhadapan dengan kemarau berpanjangan, banjir besar atau kemerosotan hasil pertanian?
Dalam keadaan sedemikian, negara yang terlalu bergantung kepada import akan terdedah kepada risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga makanan.
Kita mungkin mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli makanan, tetapi kemampuan membeli tidak semestinya menjamin bekalan sentiasa tersedia.
Sebab itu, keterjaminan makanan perlu menjadi sebahagian daripada agenda strategik negara.
Angka membuka mata
Data rasmi menunjukkan bahawa cabaran ini bukan sekadar andaian.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), melalui penerbitan Supply and Utilization Accounts Selected Agricultural Commodities, Malaysia 2025, kadar sara diri atau Self-Sufficiency Ratio (SSR) beras Malaysia pada tahun 2025 berada pada tahap 54.3 peratus.
Ini bermakna pengeluaran beras domestik masih belum mencukupi untuk memenuhi keseluruhan keperluan negara.
Bagi sayur-sayuran, SSR pula berada pada tahap 46.6 peratus. Untuk daging lembu dan kerbau, hanya 18.4 peratus, manakala daging kambing dan bebiri sekitar 9.3 peratus.
Angka ini menunjukkan bahawa masih terdapat jurang yang besar antara keupayaan pengeluaran domestik dengan keperluan pengguna bagi beberapa komoditi makanan utama.
Lebih membimbangkan, Malaysia turut mempunyai kebergantungan import yang tinggi bagi beberapa komoditi penting.
Pada tahun 2025, Import Dependency Ratio (IDR) bagi bawang dan bawang putih masing-masing mencapai 100 peratus. Bagi daging kambing dan bebiri, IDR berada pada tahap 90.7 peratus, manakala daging lembu dan kerbau pula 82.6 peratus.
Kita perlu membaca angka ini dengan serius.
Namun, kita juga perlu memahami bahawa tidak semua komoditi perlu dihasilkan sepenuhnya di dalam negara. Faktor iklim, kos pengeluaran, kesesuaian tanah dan kelebihan perdagangan perlu diambil kira.
Matlamat kita bukan untuk menghentikan import, tetapi memastikan negara mempunyai kapasiti pengeluaran domestik yang kukuh bagi makanan strategik serta tidak terlalu terdedah kepada gangguan bekalan luar.
Antara persoalan besar dalam pembangunan pertanian negara ialah penggunaan tanah.
Malaysia mempunyai sumber tanah yang berpotensi untuk dibangunkan bagi aktiviti pertanian. Namun, pembangunan sektor ini masih berhadapan dengan pelbagai kekangan.
Antaranya ialah tanah pertanian yang tidak dimanfaatkan secara optimum, fragmentasi pemilikan tanah, masalah akses kepada tanah, kos pembangunan infrastruktur serta persaingan dengan pembangunan sektor lain.
Kita perlu mengubah pendekatan.
Tanah pertanian tidak seharusnya hanya dilihat berdasarkan keluasan yang diusahakan, tetapi juga berdasarkan produktiviti dan nilai ekonomi yang mampu dihasilkan.
Kita perlu menggalakkan penggunaan teknologi moden, mekanisasi, automasi, sistem pengairan cekap dan pertanian berasaskan data.
Penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), dron dan precision farming perlu diperluaskan.
Pertanian moden bukan lagi semata-mata soal berapa hektar tanah yang dimiliki seseorang petani, tetapi sejauh mana hasil dapat ditingkatkan daripada setiap hektar tanah tersebut.
Dasar pertanian perlu berubah?
Satu lagi perkara yang perlu kita fikirkan ialah keberkesanan dasar pertanian negara.
Selama ini, banyak program pembangunan pertanian dilaksanakan melalui bantuan input, subsidi, insentif, projek tanaman dan pelbagai bentuk sokongan kerajaan.
Semua ini mempunyai peranan tersendiri dan tidak wajar diketepikan.
Namun, kita perlu berani bertanya: adakah pendekatan ini benar-benar berjaya meningkatkan produktiviti dan daya saing industri pertanian?
Kita tidak boleh mengukur kejayaan sesuatu program hanya berdasarkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan, bilangan peserta yang menerima bantuan atau jumlah projek yang dilaksanakan.
Ukuran kejayaan sebenar sepatutnya merangkumi peningkatan hasil pengeluaran, pendapatan bersih petani, pengurangan kos pengeluaran, kecekapan penggunaan sumber dan kemampuan produk tempatan bersaing di pasaran.
Sudah tiba masanya kita beralih daripada pendekatan yang terlalu berorientasikan projek kepada pendekatan yang berorientasikan hasil dan impak.
Setiap peruntukan kerajaan perlu menghasilkan nilai ekonomi yang jelas dan memberi manfaat berpanjangan kepada industri serta pengusaha pertanian.
Kita juga perlu mengubah persepsi bahawa pertanian merupakan sektor tradisional yang hanya sesuai untuk golongan tertentu.
Pertanian sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi sektor pelaburan moden yang melibatkan teknologi, penyelidikan, kejuruteraan, logistik, pemprosesan makanan dan perdagangan antarabangsa.
Kerajaan perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta.
Institusi kewangan pula perlu menyediakan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan kitaran pengeluaran dan risiko sektor pertanian.
Institusi penyelidikan dan universiti perlu memastikan hasil penyelidikan dapat dikomersialkan serta dimanfaatkan oleh pengusaha di lapangan.
Kita juga perlu memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, koperasi, institusi penyelidikan dan komuniti petani.
Pertanian tidak boleh dibangunkan secara bersendirian oleh petani kecil tanpa ekosistem sokongan yang kukuh.
Pada pandangan saya, terdapat lima agenda besar yang perlu diberikan perhatian dalam membina keterjaminan makanan Malaysia.
Pertama, mengenal pasti komoditi makanan strategik negara.
Kita perlu menentukan komoditi yang wajib diberikan keutamaan berdasarkan tahap kebergantungan import, kepentingannya kepada pemakanan rakyat, potensi pengeluaran domestik dan risiko gangguan bekalan.
Kedua, meningkatkan produktiviti tanah pertanian.
Kita perlu memanfaatkan tanah sedia ada dengan teknologi, penyelidikan, mekanisasi dan pengurusan pertanian yang lebih cekap.
Ketiga, memperkukuh penglibatan sektor swasta.
Kerajaan tidak boleh menjadi satu-satunya pemacu pembangunan pertanian. Pelaburan swasta perlu digalakkan dalam pengeluaran, infrastruktur, teknologi dan rantaian bekalan.
Keempat, membangunkan ekosistem petani yang lebih kompetitif.
Petani memerlukan akses kepada tanah, modal, teknologi, kepakaran, pasaran dan perlindungan daripada risiko pengeluaran. Tanpa semua ini, kita sukar meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik secara mampan.
Kelima, menjadikan penyelidikan dan inovasi sebagai teras pembangunan pertanian.
Kita memerlukan varieti tanaman yang lebih produktif, teknologi pengeluaran yang cekap, penggunaan sumber yang mampan dan penyelesaian yang sesuai dengan keadaan agroekologi Malaysia.
Pembangunan pertanian bukan projek jangka pendek.
Sesebuah ladang memerlukan masa untuk dibangunkan. Penyelidikan mengambil masa untuk menghasilkan varieti baharu. Pelaburan dalam teknologi pula memerlukan perancangan dan pulangan jangka panjang.
Sebab itu, pembangunan pertanian tidak boleh berubah-ubah mengikut kitaran politik atau penggal pemerintahan.
Kita memerlukan satu kerangka dasar pertanian jangka panjang yang konsisten, mempunyai sasaran yang boleh diukur dan disokong oleh semua pihak.
Apa yang lebih penting, dasar tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar dirasai oleh pengusaha pertanian di lapangan.
Kita juga perlu memastikan bahawa pembangunan pertanian tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar. Produktiviti dan kelestarian mesti bergerak seiring.
Saya percaya Malaysia mempunyai kemampuan untuk membina sektor pertanian yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Kita mempunyai tanah, kepakaran, institusi penyelidikan, tenaga kerja dan potensi pasaran yang besar.
Apa yang diperlukan ialah keberanian untuk melakukan pembaharuan dasar, kesungguhan membina ekosistem industri dan komitmen jangka panjang untuk menjadikan pertanian sebagai sektor ekonomi strategik.
Kita tidak semestinya perlu menghasilkan setiap jenis makanan yang dimakan oleh rakyat Malaysia. Perdagangan antarabangsa akan terus menjadi sebahagian daripada ekonomi kita.
Tetapi kita tidak boleh membiarkan negara berada dalam keadaan terlalu bergantung sehingga keselamatan makanan rakyat mudah terjejas apabila berlaku krisis di luar negara.
Akhirnya, ukuran kejayaan pertanian bukan sekadar berapa banyak hasil yang kita eksport atau berapa besar nilai ekonomi yang kita catatkan.
Kejayaan sebenar ialah apabila rakyat mempunyai akses kepada makanan yang mencukupi dan berpatutan, petani memperoleh pendapatan yang munasabah, industri pertanian berkembang maju dan negara mempunyai daya tahan menghadapi sebarang krisis bekalan makanan.
Kita tidak boleh hanya menjadi negara yang mempunyai wang untuk membeli makanan. Kita mesti menjadi negara yang mempunyai keupayaan untuk menghasilkan makanan.
Makanan bukan sekadar komoditi ekonomi. Makanan ialah kedaulatan, keselamatan dan masa depan negara.
BACA JUGA Kemalangan ragut tangan wira angkat berat, Taufiq janji Udin tak dibiarkan sendirian