Ekonomi Malaysia tumbuh 5.6 peratus, BNM jangka pertumbuhan lepasi 5 peratus tahun ini
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.6 peratus bagi sembilan bulan pertama 2026, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan prestasi keseluruhan tahun ini mampu melepasi paras lima peratus.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perkembangan positif itu didorong oleh eksport dan permintaan domestik yang berdaya tahan.
“Pada masa hadapan, ekonomi negara dalam keadaan bersedia untuk memulakan tahun 2027 pada kedudukan yang kukuh, disokong oleh asas ekonomi yang teguh dan prospek ekonomi yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media prestasi ekonomi suku ketiga 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Abdul Rasheed, eksport negara dijangka terus mendapat manfaat daripada permintaan global terhadap produk berkaitan teknologi dan komoditi utama.
Katanya, sektor perkhidmatan termasuk pelancongan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) turut dijangka menyumbang kepada prestasi eksport Malaysia.
Bagi sektor domestik, beliau berkata, aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan sektor swasta dan awam.
Selain itu, pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan turut menjadi faktor penting dalam menyokong kegiatan ekonomi negara.
Abdul Rasheed berkata, perbelanjaan isi rumah pula dijangka mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan dan peningkatan pendapatan yang stabil.
Katanya, langkah-langkah dasar yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2027 turut dijangka menyokong perbelanjaan pengguna.
Mengulas perkembangan harga barangan, beliau berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana bagi baki 2026, dengan inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5 hingga 2.5 peratus.
Bagaimanapun, inflasi keseluruhan mungkin meningkat secara beransur-ansur menjelang akhir tahun akibat kesan tertangguh kenaikan kos input, namun subsidi bahan api bersasar dan permintaan domestik yang stabil dijangka mengurangkan kesannya.
Bagi tahun 2027, Abdul Rasheed menjangkakan inflasi meningkat pada awal tahun berikutan kesan lanjutan serta pemindahan kenaikan kos yang berlaku secara tertangguh.
BACA JUGA Pendedahan syarat tahanan rumah Najib buka ruang penelitian terhadap pematuhan larangan