Puad cabar Ismail buka cerita: Siapa sebenarnya paksa MB letak jawatan?

Kontroversi peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kini bukan sekadar soal sepucuk surat, sebaliknya mula menimbulkan persoalan siapa sebenarnya menggerakkan keputusan itu sehingga pengumumannya dibuat sebelum Istana Negeri Sembilan mengesahkan status berkenaan.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mahu Datuk Seri Ismail Lasim tampil mendedahkan perkara sebenar di sebalik peletakan jawatannya, termasuk sama ada keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri atau kerana tekanan pihak tertentu.

Menurut Puad, penjelasan Istana Negeri Sembilan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan berkenaan masih belum disahkan menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap perkembangan yang berlaku.

Beliau berkata Ismail seharusnya mengambil peluang itu untuk mendedahkan siapa yang memaksanya berundur, jika benar keputusan berkenaan bukan dibuat secara sukarela.

“Terutama siapa yang memaksa dia. Siapa dalang. Ismail mesti berkorban untuk memastikan Umno tidak jadi mangsa mainan politik.

“Kebangkitan Umno tidak boleh terhenti kerana agenda puak tertentu. Ismail tidak rugi apa-apa demi kebangkitan tulen Umno. Dia mesti ambil peluang ini untuk membetulkan Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Puad turut membangkitkan kenyataan anak Ismail yang sebelum ini mempersoalkan sama ada peletakan jawatan bapanya benar-benar dibuat atas keputusan sendiri atau berdasarkan arahan parti.

Beliau memetik kenyataan anak Ismail yang mengingatkan supaya bapanya tidak dijadikan kambing hitam demi kepentingan pihak tertentu.

“Bapanya tidak patut jadi kambing hitam demi kepentingan pihak tertentu. Jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ni,” katanya.

Persoalan mengenai proses peletakan jawatan itu timbul selepas Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail meletakkan jawatan menerusi Facebook pada 10 malam, 16 November lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas Zambry menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 November memaklumkan pihaknya belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan, sekali gus menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar tertakluk kepada proses yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata surat berkenaan hanya diterima di Istana Hinggap, Seremban pada 12.16 tengah malam, 17 November, melalui seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

Istana turut menegaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.

Dalam kenyataan itu, Istana memaklumkan perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku Muhriz telah disampaikan melalui WhatsApp pada 8.38 malam, 16 November, dengan sesi menghadap ditetapkan pada 10 pagi, 20 November ini.

Perkenan menghadap itu diberikan kira-kira 80 minit sebelum Zambry mengumumkan peletakan jawatan Ismail.

Urutan masa tersebut kini menjadi antara perkara yang mengundang persoalan, khususnya apabila pengumuman politik mengenai peletakan jawatan dibuat sedangkan Istana kemudian menjelaskan surat berkenaan masih belum disahkan ketulenannya.

Desakan Puad supaya Ismail mendedahkan siapa yang berada di sebalik keputusan itu turut membuka dimensi baharu kepada krisis politik Negeri Sembilan  bukan lagi semata-mata mengenai siapa bakal menggantikan Menteri Besar, tetapi juga siapa yang membuat keputusan, bagaimana keputusan itu dibuat dan mengapa pengumumannya mendahului proses istana.

Jika Ismail benar-benar menjadi mangsa percaturan pihak tertentu seperti yang dibayangkan Puad, penjelasan daripada beliau sendiri mungkin menjadi kunci untuk merungkai persoalan yang kini semakin membesar dalam kem Umno.

BACA JUGA Minit pengampunan Najib akhirnya terbongkar, Tony Pua dedah Hannah dan Peguam Negara sama-sama bantah