RM100 sebulan tak cukup? Selangor mahu bantu rider keluar daripada perangkap ekonomi gig

Ketika semakin ramai rakyat bergantung kepada pekerjaan gig untuk menyara kehidupan, Kerajaan Selangor dicadangkan membuka laluan khas bagi membantu penunggang p-hailing yang mempunyai tanggungan keluarga beralih kepada pekerjaan formal dengan pendapatan lebih stabil, perlindungan sosial dan masa depan kerjaya lebih terjamin.

Cadangan itu dikemukakan Adun Batu Tiga, Danial al-Rashid Harun ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor semalam, yang menyifatkan bantuan kepada pekerja gig tidak seharusnya terhenti pada pemberian subsidi bulanan semata-mata.

Beliau berkata peruntukan RM10 juta bagi Baucar Kita Selangor Gig yang menyediakan bantuan RM100 sebulan kepada 5,000 penunggang p-hailing berdaftar, selain latihan kemahiran menerusi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), boleh dijadikan titik permulaan untuk membina laluan pekerjaan lebih baik bagi golongan berkenaan.

Menurut Danial, pertumbuhan ekonomi gig yang membuka peluang kepada ramai rakyat mencari pendapatan tidak semestinya menjamin peningkatan pendapatan setiap pekerja, khususnya apabila jumlah penunggang bertambah lebih pantas berbanding jumlah pesanan yang tersedia.

Beliau memetik anggaran Kementerian Sumber Manusia ketika pelancaran Akta Pekerja Gig 2025 bahawa kira-kira 1.64 juta individu terlibat dalam keseluruhan ekonomi gig setakat Mac 2026, merangkumi sektor penghantaran, e-hailing, pekerjaan bebas dan perkhidmatan dalam talian.

Katanya, pekerja gig yang mempunyai keluarga berdepan komitmen kewangan tetap seperti sewa rumah, perbelanjaan dapur, persekolahan anak dan pelbagai bayaran bulanan, sedangkan pendapatan mereka tidak menentu serta bergantung kepada jumlah pesanan, keadaan motosikal dan tahap kesihatan.

“Pekerja gig yang mempunyai keluarga bukan sekadar mengejar pesanan setiap hari, tetapi turut memikul komitmen kewangan yang tidak boleh ditangguhkan apabila pendapatan merosot,” katanya ketika membahaskan belanjawan berkenaan.

Danial turut menarik perhatian terhadap risiko pekerjaan penunggang penghantaran yang terpaksa menghabiskan banyak masa di jalan raya, berdepan keletihan, hujan lebat dan keadaan trafik, selain risiko kemalangan yang boleh menjejaskan sumber pendapatan seluruh keluarga.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penerima Baucar Kita Selangor Gig yang berminat diberikan laluan khusus daripada latihan kemahiran kepada penempatan pekerjaan melalui penyelarasan STDC, JobCare Selangor, JobCare Istimewa, JobCare Premium, PERKESO dan pihak majikan.

Bagaimanapun, katanya, proses peralihan itu perlu dilaksanakan secara terancang dengan memastikan pekerja memperoleh tawaran pekerjaan yang sesuai sebelum meninggalkan sumber pendapatan sedia ada, supaya usaha mengubah kerjaya tidak menyebabkan mereka kehilangan pendapatan secara mendadak.

Bagi mereka yang memilih untuk terus bekerja dalam sektor gig pula, Danial berkata sokongan keselamatan dan perlindungan sosial perlu diteruskan kerana sektor berkenaan masih menjadi sumber pendapatan penting bagi ramai rakyat.

Dalam ucapannya, beliau turut mengaitkan realiti kehidupan pekerja gig dengan filem Papa Zola The Movie yang menggambarkan pengorbanan seorang bapa melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara keluarga, sambil menegaskan pengorbanan golongan itu perlu disambut dengan peluang merancang kehidupan lebih yakin dan masa depan kerjaya yang terjamin.

BACA JUGA Masuk pejabat macam biasa sebagai MB walau BN umum Ismail letak jawatan