Apa dah jadi? Pelajar Tingkatan Dua cedera dibelasah rakan dalam kelas kerana mesej WhatsApp
Seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera pada bahagian dada dan belakang kepalanya selepas dipercayai dibelasah tiga rakan sekelas di sebuah sekolah, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 12.09 tengah malam pada 14 November dan mendapati kejadian telah berlaku sekitar 8 pagi, di dalam sebuah kelas dan kawasan pondok sekolah.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas video memaparkan insiden berkenaan tular di media sosial, hari ini.
Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.
“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, dada, perut dan lengan kiri.
“Bertindak atas laporan diterima, polis mengenal pasti dan menahan ketiga-tiga pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Roslan berkata, hasil temu bual mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Polis memandang serius sebarang kejadian buli dan keganasan khususnya membabitkan pelajar sekolah.
“Perbuatan menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan perselisihan faham bukan sahaja boleh mendatangkan kecederaan, malah menjejaskan keselamatan mangsa.
“Ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak dan tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu, khususnya maklumat yang boleh mendedahkan identiti pelajar terbabit