Barisan Exco Melaka berubah, Ab Rauf hapus jawatan kanan, Speaker pula masih teka-teki
Barisan pentadbiran kerajaan Melaka bagi penggal baharu menyaksikan perubahan apabila jawatan Exco Kanan tidak lagi diwujudkan, manakala pelantikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dilantik kali ini mempunyai kedudukan sama tanpa sebarang perbezaan status antara mereka.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka.berkenaan berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan setiap Exco diberikan peluang memikul tanggungjawab berbeza, selain memperluas pengetahuan dan pengalaman dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri.
“Semua Exco ini adalah Exco Kanan saya. Tidak ada lagi Exco Kanan kerana semua mereka mempunyai kedudukan yang sama,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli MMKN Melaka di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu menjelaskan bahawa pemilihan barisan Exco tersebut dibuat berdasarkan keyakinannya terhadap kemampuan setiap individu untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.
“Saya sudah memilih mereka kerana saya percaya semuanya mampu melaksanakan tanggungjawab diberikan. Semua orang perlu merasai tanggungjawab berbeza,” katanya.
Jelasnya, pendekatan baharu itu juga bertujuan membentuk barisan kepimpinan yang mempunyai pengalaman lebih luas dan tidak hanya bergantung kepada pengetahuan dalam satu bidang pentadbiran.
Masa depan
Menurutnya, setiap Exco perlu memahami pelbagai aspek pengurusan kerajaan negeri supaya mereka mempunyai persediaan lebih menyeluruh untuk menjadi pemimpin pada masa depan.
“Barisan kali ini tidak seperti dahulu, apabila seseorang Exco hanya memegang satu jawatan.
“Mereka perlu belajar semua perkara untuk menjadi pemimpin masa depan dan memahami selok-belok keadaan kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf memaklumkan bahawa calon Yang Dipertua DUN Melaka masih dalam pertimbangannya dan keputusan mengenai pelantikan tersebut akan diumumkan pada sidang akan datang.
Bagaimanapun, dia mengesahkan bahawa ADUN Bemban, Dr Yadzil Yaakub sudah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Melaka bagi penggal baharu.
“Timbalan Speaker kita telah lantik iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Yadzil Yaakub manakala bagi Speaker, saya masih memikirkannya.
“Tunggu bulan purnama,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka itu lagi.