Berbeza parti bukan penghalang, Dr Dzulkefly ziarah Shahidan di IJN sambil serah jawapan Parlimen

Perbezaan fahaman dan pegangan politik tidak menjadi penghalang kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk menziarahi Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang kini berada dalam pemantauan di Institut Jantung Negara (IJN).

Dr Dzulkefly yang juga pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) berkongsi mengenai kunjungan tersebut menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, pertemuan dengan Shahidan pada asalnya dijadualkan berlangsung di Parlimen bagi sesi Kamar Khas.

Namun, ujarnya, keadaan tidak mengizinkan selepas Ahli Parlimen Arau berkenaan berada dalam pemantauan pihak IJN.

“Tengah hari tadi, saya telah meluangkan masa menziarahi sahabat saya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau yang kini sedang dalam pemantauan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Sepatutnya pertemuan kami pada hari ini berlangsung di Parlimen untuk sesi Kamar Khas, namun sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” katanya.

Menariknya, kunjungan tersebut bukan sekadar untuk bertanya khabar, malah Dr Dzulkefly turut mengambil kesempatan menyerahkan sendiri naskhah jawapan Kamar Khas yang sepatutnya disampaikan kepada Shahidan di Parlimen.

Beliau menjelaskan bahawa jawapan berkenaan melibatkan persoalan penting yang dibangkitkan oleh Shahidan mengenai pengoperasian Perkhidmatan Doktor Udara atau Flying Doctor Service (FDS).

Menurut Dr Dzulkefly, perkara tersebut mempunyai kepentingan kepada orang ramai dan wajar diberikan penjelasan, justeru beliau mengambil kesempatan menyerahkan jawapan berkenaan ketika menziarahi sahabatnya itu.

“Sambil bertanya khabar dan bertukar pandangan, saya mengambil kesempatan untuk menyerahkan sendiri naskhah jawapan Kamar Khas tersebut kepada beliau.

“Soalan yang dibangkitkan oleh beliau amat penting untuk dimaklumkan kepada umum kerana ia terkait dengan pengoperasian Perkhidmatan Doktor Udara (FDS),” jelasnya.

Dalam hantaran sama, Dr Dzulkefly turut mendoakan agar segala urusan Shahidan dipermudahkan serta sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.

Kunjungan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu memperlihatkan bahawa hubungan peribadi antara kedua-dua ahli politik masih dapat dikekalkan di sebalik perbezaan parti, manakala urusan rasmi berkaitan kepentingan rakyat tetap diberikan perhatian.