Menteri Agama sahkan tiada konflik berkepentingan dalam penganugerahan kontrak THiJARI RM4.53 juta
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengesahkan tiada konflik berkepentingan dalam penganugerahan kontrak THiJARI bernilai RM4.53 juta kepada Cyber Village pada 2019.
Beliau berkata, ini kerana pemilik atau pengarah syarikat itu tiada hubung kait dengan kepimpinan Tabung Haji (TH), malah syarikat tersebut telah melalui proses perolehan yang ditetapkan dalam peraturan perolehan TH.
Menurut Zulkifli, kontrak berkenaan dianugerahkan kepada syarikat Cyber Village Sdn Bhd pada 2019 berdasarkan kriteria teknikal dan merit yang memenuhi keperluan TH serta menawarkan kos projek yang paling kompetitif.
“Ia melalui proses perolehan yang bertepatan dengan peraturan perolehan TH, termasuk semakan profil pegangan syarikat bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan berlaku
“Dalam hal ini, tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village Sdn Bhd kerana pemilik atau pengarah syarikat terbabit tiada hubung kait dengan kepimpinan TH dan terpilih melalui tender dengan kos projek yang paling kompetitif,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Zulkifli berkata, kontrak bagi membangunkan sistem yang memerlukan kepakaran khusus itu dibuat secara tender membabitkan penyertaan enam vendor.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang mahu Perdana Menteri menyatakan adakah TH sudah menjalankan semakan konflik berkepentingan terhadap pihak tertentu berhubung kontrak THiJARI bernilai RM4.53 juta yang diberikan kepada Cyber Village pada 2019.