BN kata surat sudah diutus, Ismail pula nafi pernah hantar kepada Tuanku Muhriz

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan pernah menghantar atau memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Penafian itu dibuat dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar hari ini, sekali gus memperlihatkan percanggahan dengan pengumuman Barisan Nasional (BN) pada 16 November lalu bahawa surat peletakan jawatannya sudah diutuskan kepada istana.

“Saya tidak ada mengemukakan atau memberikan persetujuan berkaitan surat (peletakan jawatan) untuk surat itu dikemukakan kepada ke bawah DYMM Tuanku dan saya pun tidak menghantar surat berkenaan,” katanya.

Ismail bagaimanapun mengakui surat peletakan jawatan bertarikh 16 November 2026 itu sememangnya wujud dan kini berada dalam simpanan pimpinan parti.

“Surat peletakan jawatan itu memang ada, disimpan oleh pimpinan parti tapi saya tak pernah bersetuju ia dihantar dalam keadaan begini.

“Surat peletakan jawatan itu saya tak hantar lagi kepada Tuanku pun,” tegasnya.

Cadangan calon

Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Zambry dalam kenyataan berkenaan turut memaklumkan surat itu telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz, manakala BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu untuk pertimbangan baginda.

Bagaimanapun, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali pada 17 November menjelaskan pihak istana belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan walaupun dokumen itu diterima pada pukul 12.16 tengah malam.

Menurut pihak istana, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap pada pukul 10.18 pagi hari ini bagi menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut pentadbiran yang melanda negeri berkenaan.

Turut hadir ialah Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.

Selepas menghadap, Ismail memaklumkan Tuanku Muhriz menitahkan beliau meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.

Ismail yang mengangkat sumpah jawatan pada 2 Ogos lalu berkata, beliau akan terus melaksanakan amanah tersebut dengan penuh komitmen dan dedikasi, selain memaklumkan hasil pertemuannya dengan Tuanku Muhriz kepada pucuk pimpinan Umno.

BACA JUGA Debat PH atau BN, pilihan mana lebih Islamik? Khalid Samad cabar Pas bersemuka