Pemimpin DAP sendiri tegur rakan separti isu tutup kedai waktu solat Jumaat, jangan sampai rakyat menjauh

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menegur Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong supaya tidak mencampuri urusan Melayu dan Islam serta pentadbiran negeri lain sehingga menyebabkan masyarakat semakin menjauh.

Teguran terhadap rakan separtinya itu dibuat susulan tindakan Poay Tiong mempersoalkan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam setiap Jumaat bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Young Syefura menerusi hantaran di Threads hari ini mengingatkan pemimpin DAP berkenaan supaya lebih memahami keadaan sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Hal Melayu Islam nak dicampuri, urusan negeri orang pun nak diatur. Pandai-pandailah baca keadaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan terlalu kerap mencampuri urusan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai semakin tidak senang dan menjauh.

“Kalau setiap kali masuk campur, orang makin menyampah dan makin menjauh. Mungkin sudah tiba masa untuk belajar jaga urusan sendiri,” tegasnya.

Menjejaskan kebebasan

Terdahulu, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka membangkitkan kebimbangan terhadap arahan penutupan premis perniagaan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat di Kuala Terengganu.

Pemimpin DAP berkenaan mendakwa pelaksanaan peraturan itu secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan menjalankan perniagaan serta gaya hidup masyarakat bukan Islam, selain mengaitkannya dengan pendekatan dasar agama konservatif dalam pentadbiran negeri.

Poay Tiong turut membangkitkan kemungkinan tindakan undang-undang terhadap peniaga yang melanggar peraturan berkenaan, termasuk denda, hukuman penjara serta pembatalan lesen perniagaan.

“Kami menghormati solat Jumaat, tetapi dasar lebih menyeluruh harus dilaksanakan untuk mengelakkan kesan kepada pekerjaan bukan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, MBKT sebelum ini sudah memberikan penjelasan pada Januari 2024 bahawa arahan penutupan selama dua jam berkenaan melibatkan pasar raya, restoran, kedai makan dan gerai makanan milik orang Islam.

Menurut penjelasan pihak berkuasa tempatan itu, premis makanan milik bukan Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa, kecuali jika mempunyai pekerja Islam, manakala kelonggaran tertentu boleh dipohon bagi premis yang diuruskan pekerja wanita.

Arahan berkenaan dilaksanakan bagi memberikan ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat, dengan MBKT turut menjelaskan bahawa kepentingan sektor perniagaan yang terlibat telah diambil kira dalam pelaksanaannya.

BACA JUGA Pemuda DAP pertegas penderma RM50 juta untuk Najib pun berhak tahu minit pengampunan