Bila kedai tutup waktu Jumaat dipertikai, Menteri Agama tampil jelaskan asas undang-undang
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan tampil menjelaskan asas perundangan berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu yang dipertikaikan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan peraturan berkenaan merupakan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai asas undang-undang tersendiri.
Menurut Zulkifli, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Khoo yang mempertikaikan arahan tersebut, termasuk pelaksanaannya terhadap rangkaian kedai serbaneka.
“Perkara ini urusan pentadbiran negeri dan PBT yang mempunyai asas perundangan menerusi enakmen negeri serta mandat rakyat tempatan, seperti di Terengganu, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran Facebook malam tadi sebagai mengulas polemik penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat yang dikuatkuasakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Kewajipan
Zulkifli turut menjelaskan bahawa kewajipan lelaki Muslim menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya merupakan tuntutan agama yang jelas.
Katanya, kewajipan berkenaan berlandaskan Surah al-Jumu’ah ayat 9 dan bukan sekadar amalan budaya yang boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa peraturan yang dikuatkuasakan PBT bertujuan memelihara kewajipan ibadah serta memberi ruang kepada pekerja dan pelanggan Islam menunaikan solat Jumaat tanpa kekangan.
Dalam masa sama, Zulkifli menggesa semua pemimpin supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan amalan agama bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Dalam membina masyarakat majmuk yang harmoni, setiap pemimpin perlu cermat dan saling menghormati batas amalan agama masing-masing agar ia tidak dijadikan bahan polemik atau pertikaian politik,” katanya.
Terdahulu, Khoo membangkitkan persoalan berhubung arahan MBKT supaya premis perniagaan menghentikan operasi antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat, termasuk sebuah cawangan 7-Eleven.
Bagaimanapun, Khoo kemudian menjelaskan bahawa beliau menghormati kewajipan solat Jumaat dan tidak mempertikaikan amalan agama tersebut, sebaliknya mempersoalkan skop penguatkuasaan terhadap premis perniagaan milik bukan Islam.
Wakil rakyat DAP itu menyatakan kebimbangan mengenai kesan arahan itu terhadap peniaga bukan Islam, manakala Zulkifli menegaskan keperluan menghormati bidang kuasa pentadbiran negeri serta sensitiviti umat Islam.
BACA JUGA Selepas surat letak jawatan MB dipertikai, Adun BN-PN berkumpul di Wisma Umno Seremban malam ini