Dr Siti Mariah tegur pemimpin cakap lain dalam Kabinet, lain pula di luar

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen Nasional 2026 Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) disempurnakan oleh Dr Siti Mariah Mahmod Naib Presiden AMANAH di Tingkat 7, Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. 20hb November 2026, (Jumaat)

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Siti Mariah Mahmud meluahkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik negara apabila terdapat pemimpin yang didakwanya menunjukkan pendirian berbeza ketika berada dalam Kabinet dan di luar kerajaan.

Beliau berkata, keadaan politik ketika ini antara yang paling mencabar pernah dihadapinya sepanjang penglibatan dalam politik sehingga menimbulkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah pemimpin sendiri.

“Yang sepatutnya duduk bersama kita mula tikam belakang. Kita di Kabinet cakap lain, dekat luar cakap lain. Jadi kita tak tahu siapa hendak dipercayai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Nasional 2026 Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Kota Raja itu, keadaan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju perjuangan politik apabila pemimpin sendiri berdepan kesukaran menentukan pihak yang boleh dipercayai.

“Kalau kita pemain politik sendiri tidak tahu siapa hendak dipercayai, rakyat lagilah teruk,” katanya.

Dr Siti Mariah turut menyentuh naratif penyatuan Melayu-Islam yang menurutnya semakin mendapat perhatian rakyat, namun mempersoalkan percanggahan antara nilai Islam yang diperjuangkan dengan tindakan politik sesetengah pihak.

Beliau merujuk sokongan terhadap individu yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah serta isu tahanan rumah sebagai antara perkara yang menimbulkan persoalan mengenai nilai dan prinsip dalam politik negara.

Katanya, cabaran perjuangan politik bukan sekadar memenangi pilihan raya, sebaliknya turut melibatkan usaha membetulkan kefahaman masyarakat mengenai perkara yang benar dan salah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan pimpinan AMANAH supaya berani mengakui kelemahan sendiri dan menjadikan konvensyen parti sebagai ruang bermuhasabah selepas menghadapi beberapa keputusan pilihan raya yang mengecewakan.

Menurutnya, perjuangan parti tidak boleh bergantung semata-mata kepada kedudukan dalam kerajaan atau jawatan politik, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pendidikan, tarbiah dan pembinaan akar umbi.

“Kita kena balik kepada akar umbi, bersusah payah semula untuk mendidik dan mentarbiah mereka. Kalau ini tidak dilakukan, kita akan lenyap,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa AMANAH perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman menerima kemasukan ahli yang mempunyai pelbagai kepentingan selepas parti itu memperoleh kedudukan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, Dr Siti Mariah mencadangkan supaya pendidikan dan tarbiah dijadikan antara syarat penting sebelum seseorang diberikan tanggungjawab memegang jawatan dalam parti.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa AWAN tidak seharusnya hanya berperanan sebagai jentera pilihan raya, sebaliknya mesti membina kepimpinan wanita yang mampu mempengaruhi dasar dan menyelesaikan masalah masyarakat.

“Awan perlu membina pemimpin, bukan penggerak semata-mata,” katanya sambil menggesa lebih banyak latihan, bengkel dan pendedahan diberikan kepada pemimpin wanita di semua peringkat.

Beliau turut menawarkan diri menjadi mentor kepada pemimpin muda AWAN berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam perjuangan politik dan tiga penggal sebagai wakil rakyat.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah menyatakan sokongan terhadap cadangan mengehadkan tempoh memegang jawatan lantikan kepada dua penggal atau tempoh tertentu bagi membuka peluang kepada lebih ramai pemimpin baharu.

Katanya, peluang memegang jawatan perlu dikongsi supaya lebih ramai anggota parti dapat membuktikan kemampuan masing-masing dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan seseorang pemimpin bukan hanya diukur melalui jawatan yang disandang, tetapi keupayaannya melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis.

“Kamu hanya seorang pemimpin kalau kamu boleh melahirkan lebih ramai pemimpin di bawah kamu,” katanya