Ketika MB kini pertahan institusi istana, PH Negeri Sembilan persoal mengapa pendirian sama dahulu diserang

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mempersoalkan mengapa pendirian gabungan berkenaan mempertahankan institusi istana sebelum ini menjadi sasaran serangan politik BN-PN, sedangkan prinsip sama kini ditegaskan oleh Menteri Besar.

Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan (PHNS) dalam kenyataan sebentar tadi berkata, pendirian Menteri Besar berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, adalah selari dengan prinsip yang diperjuangkannya sejak awal.

Menurut PHNS, kesetiaan kepada Raja Pemerintah, penghormatan terhadap institusi adat dan kepatuhan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan bukanlah pendirian yang boleh berubah mengikut kepentingan politik.

Justeru, PHNS menuntut penjelasan kepimpinan BN-PN berhubung tuduhan yang pernah dilemparkan terhadap gabungan itu, khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Jika pendirian mempertahankan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz kini menjadi komitmen kerajaan, mengapakah pendirian yang sama ketika dibawa oleh PHNS dahulu dipersoalkan dan diserang?” soal kenyataan itu.

Mencampuri urusan adat

PHNS menegaskan bahawa sepanjang kempen pilihan raya, blok dianggotai PKR, AMANAH dan DAP itu dituduh mencampuri urusan adat, mempengaruhi institusi istana serta mengancam kedudukan agama Islam di Negeri Sembilan.

Menurutnya, dakwaan kononnya institusi istana dikuasai DAP dan urusan adat dicampuri kepimpinan PHNS merupakan tuduhan tidak berasas yang telah dinafikan sejak awal.

Sehubungan itu, PHNS mencabar kepimpinan BN-PN mengemukakan bukti secara terbuka terhadap dakwaan berkenaan atau menarik balik tuduhan tersebut bagi memperbetulkan persepsi masyarakat.

PHNS turut meminta Menteri Besar memberikan penjelasan berhubung tindakan dan pendiriannya sepanjang kemelut politik serta adat sebelum ini, termasuk persoalan berkaitan Proklamasi yang pernah menjadi pertikaian.

Dalam masa sama, gabungan itu merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Tuanku Muhriz atas kebijaksanaan baginda dalam memelihara kedaulatan institusi diraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.

Mengulas pertukaran kerajaan, PHNS turut menyuarakan kekesalan terhadap tindakan mempertikaikan rekod pentadbiran terdahulu yang diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun, termasuk pencapaian dalam pengurusan kewangan, peningkatan hasil, pengukuhan rizab negeri dan kemasukan pelaburan.

Menurut PHNS, perubahan sokongan politik tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan pencapaian pentadbiran yang turut dibangunkan bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

Dalam masa sama, PHNS menegaskan bahawa rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan mengenai tuduhan dan percanggahan pendirian politik.

Selain itu, PHNS memberi komitmen untuk terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dalam mempertahankan institusi diraja, adat dan kebajikan rakyat.

BACA JUGA Ketika BN-PN sepakat patuh arahan parti, PH Negeri Sembilan pula tetap hormati ketetapan istana