Pemuda AMANAH persoal apa guna BN kekal dalam kerajaan jika asyik serang rakan sendiri
Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar mempersoalkan kewajaran Barisan Nasional (BN) terus berada dalam Kerajaan Perpaduan jika pemimpinnya sering menyerang rakan sendiri.
Beliau menggesa Konvensyen AMANAH Nasional hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengeluarkan BN daripada kerajaan.
Menurutnya, konvensyen itu perlu menilai semula hubungan AMANAH dengan Umno-BN serta kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Apa gunanya BN kekal dalam kerajaan jika pemimpinnya sendiri gemar menyerang rakan yang sama-sama memikul tanggungjawab mentadbir?” soalnya dalam kenyataan.
Fadhli berkata, Umno-BN perlu memahami bahawa penyertaan mereka dalam kerajaan turut membawa tanggungjawab terhadap keputusan bersama.
Katanya, sebarang perbezaan pandangan perlu dibincangkan dan bukannya dijadikan alasan untuk memperlekeh rakan sendiri.
“Kalau ada perbezaan, bincang. Kalau ditegur, jawab. Kalau setiap perbezaan mahu dijadikan peluang untuk memperlekeh rakan sendiri, silakan berpolitik begitu di luar kerajaan,” tegasnya.
Beliau mendakwa pertikaian sesama parti kerajaan menyebabkan masa yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat terbuang begitu sahaja.
“Rakyat mahu kerajaan yang boleh bekerja. Sampai bila kerajaan perlu menanggung akibat daripada cara Umno-BN berpolitik?” katanya.
Sehubungan itu, Fadhli mahu AMANAH tampil sebagai kuasa ketiga yang berani menyatakan pendirian sendiri dan menegur perkara yang boleh menjejaskan pentadbiran Anwar.
Beliau berpandangan keputusan mengenai kedudukan BN dalam kerajaan perlu dibuat oleh Perdana Menteri.
“Saya mahu Konvensyen AMANAH Nasional hari ini menyatakan pendirian ini secara terbuka. AMANAH mesti mendesak Perdana Menteri supaya mengeluarkan BN daripada Kerajaan Perpaduan,” kata Fadhli lagi.
BACA JUGA ‘Orang suruh akur kepada Yamtuan, bukan parti’, netizen kecam BN Negeri Sembilan