AMANAH yakin ‘Khemah Besar’ mampu saingi penyatuan Umno-Pas
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin pendekatan khemah besar mampu memberi saingan kepada gerakan penyatuan ummah yang dibawa Umno dan Pas.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih belum dibincangkan secara rasmi dengan mana-mana parti.
“Belum ada rundingan rasmi lagi tapi insya-ALLAH, boleh saingi.
“Nanti keputusannya bila dibuat kena menerusi mesyuarat Majlis Presiden. Kalau Amanah saja setuju, yang lain tidak setuju tak boleh juga,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Nasional 2026 AMANAH, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil mencadangkan Pakatan Harapan (PH) menggunakan pendekatan khemah besar dengan melibatkan lebih banyak parti yang berteraskan Melayu.
Cadangan itu dikemukakan bagi meningkatkan sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berpandangan AMANAH tidak boleh hanya bergantung kepada agenda Islam dan keadilan untuk menambah sokongan Melayu dalam tempoh singkat, sebaliknya perlu memperluaskan kerjasama politik.