‘Kalau menteri wilayah bukan DAP, saya percaya isu KLSCAH tak bangkit di Parlimen’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, isu premium tanah Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pasti tidak akan dipolitikkan dan ditimbulkan jika beliau bukan menteri DAP.

Namun beliau sudah menjangkakan perkara ini kerana ia melibatkan sebuah pertubuhan masyarakat Cina, dan pelbagai pihak mula beranggapan beliau lah yang meluluskan perkara itu.

“Saya percaya dengan sepenuh hati saya, kalau kes ini Menteri Wilayah bukan saya daripada DAP, perkara ini tidak akan masuk dalam Kamar ini.

“Saya yakin kerana sudah 10 bulan saya menjawat (jawatan ini). Oleh sebab kes ini, KLSCAH pertubuhan China, menteri DAP yang mereka ingat saya yang luluskan,” katanya di Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini. 

Ketika menggulung perbahasan beliau, Hannah Yeoh mempertahankan penetapan premium tanah KLSCAH pada RM1,000 berbanding anggaran asal RM4.67 juta.

Beliau menegaskan keputusan mengurangkan premium itu dibuat oleh Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

“Semua ini orang Melayu. Tak ada DAP China dalam Jawatankuasa Tanah ini yang meluluskan permohonan ini,” katanya merujuk pegawai kanan kerajaan yang menganggotai jawatankuasa itu.

Hannah Yeoh menjelaskan kenyataannya bertujuan menjawab sindiran dalam perbahasan hari ini mengenai dakwaan KLSCAH menerima layanan istimewa berbanding masjid.

Ketika diasak Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sama ada dia mempunyai kuasa mengubah kadar premium yang diputuskan jawatankuasa itu, Yeoh menjawab: “Saya tidak ada kuasa. Saya tak ada kuasa.”

Hannah Yeoh turut membangkitkan pendirian ahli Parlimen yang disifatkannya bercanggah, dengan merujuk syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya Menteri Wilayah Persekutuan mempengerusikan Jawatankuasa Tanah.

Tujuh kes terdahulu sebagai contoh

Sementara itu beliau menamakan tujuh pertubuhan yang menurutnya pernah menerima kelulusan premium tanah pada kadar nominal RM1,000 di Kuala Lumpur, bagi menolak dakwaan KLSCAH mendapat layanan istimewa.

Pertubuhan itu termasuk Yayasan Tuanku Bainun, Pertubuhan Bakti, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Keturunan Chan She Shu Yuen Kuala Lumpur dan Selangor, serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM).