MKRS Bumi cipta sejarah, Malaysia miliki pusat latihan perancah antarabangsa pertama di Asia Tenggara

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembinaan antarabangsa apabila syarikat tempatan, MKRS Bumi (M) Sdn. Bhd., mencipta sejarah menerusi pelancaran pusat latihan perancah pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang mendapat kelulusan badan profesional terkemuka dari United Kingdom.

Pencapaian itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik Malaysian Occupational Scaffolding Association (MOSA) dengan National Access & Scaffolding Confederation (NASC) dan Construction Industry Scaffolders Record Scheme (CISRS).

Menerusi kerjasama berkenaan, MKRS Training Institute yang beroperasi di bawah MKRS Bumi kini diiktiraf sebagai pusat latihan Overseas Scaffolder Training Scheme (OSTS) pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam membangunkan institusi latihan teknikal yang memenuhi keperluan piawaian antarabangsa, khususnya dalam aspek keselamatan pekerjaan, kompetensi profesional dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Lebih signifikan, pencapaian itu turut membuka ruang kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab latihan industri perancah serantau, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran luar melalui pembangunan tenaga pengajar dan profesional tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerjasama MOSA bersama NASC dan CISRS turut menyaksikan kejayaan pelaksanaan program sulung Train-the-Trainer dan Lead Auditor di Malaysia.

Seramai 10 peserta berjaya menamatkan program Train-the-Trainer, manakala lima lagi memperoleh pengiktirafan menerusi program Lead Auditor.

Program berkenaan dikendalikan dan dinilai di bawah bimbingan Tony Barry, Compliance Manager QTLS dan CISRS, bagi memastikan pembangunan kompetensi tenaga kerja tempatan sejajar dengan keperluan profesional antarabangsa.

Turut mencuri perhatian ialah pencapaian Cik Vatsala Vijayan yang diiktiraf sebagai wanita pertama di Malaysia memperoleh pensijilan antarabangsa menerusi program tersebut, sekali gus membuka lembaran baharu kepada penyertaan wanita dalam bidang teknikal industri perancah.

Sementara itu, MOSA yang ditubuhkan pada 2010 terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh standard keselamatan industri melalui kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Kerjasama antarabangsa ini juga dijangka mempercepat pemindahan ilmu, pembangunan kepakaran dan penerapan amalan terbaik industri perancah dari United Kingdom ke Malaysia.

Malah, MOSA turut menyasarkan peluasan peluang kepakaran Malaysia ke pasaran antarabangsa, termasuk Arab Saudi, seiring usaha menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan latihan industri perancah di rantau ini.

Penubuhan MKRS Training Institute bukan sahaja menjadi pencapaian penting kepada MKRS Bumi, malah memperlihatkan potensi syarikat Malaysia untuk bersaing dalam industri teknikal berstandard tinggi di peringkat global.